KUCHING, 9 Feb: Nilai eksport produk perkayuan Sarawak pada tahun 2021 menunjukkan sedikit peningkatan dengan mencapai RM3.9 billion.
Menurut Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, nilai eksport tersebut meningkat sebanyak 4 peratus jika dibandingkan dengan tahun 2020 iaitu sebanyak RM3.7 billion.
“Statistik ini adalah satu petanda bahawa keadaan ekonomi mulai beransur pulih dan permintaan bahan komoditi seperti produk perkayuan mencatat sedikit peningkatan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Perasmikan Hari Integriti & Inovasi Dan Perhimpunan Perdana Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) 2022 di Wisma Sumber Alam di sini, hari ini.
Tambah Awang Tengah yang juga Menteri Sumber Asli Dan Pembangunan Bandar II, papan lapis kekal sebagai produk perkayuan utama yang dieskport.
Katanya, hampir 55 peratus atau RM2.15 billion daripada jumlah eksport produk perkayuan Sarawak adalah dari hasil eksport papan lapis.
Produk perkayuan utama lain yang dieksport adalah balak (RM509 juta), kayu bergergaji (RM381 juta), papan gentian (RM334 juta) dan kayu racik (RM213 juta).
Dari segi pasaran pula ujar beliau, Jepun merupakan pengimport terbesar produk perkayuan dari Sarawak.
“Nilai eksport produk perkayuan ke Jepun dalam tahun 2021 berjumlah RM2.04 billion.
“Manakala lima pasaran utama lain adalah India (RM476 juta), Taiwan (RM206 juta), Filipina (RM179 juta), China (RM175 juta) dan Korea (RM123 juta),” ujar beliau yang juga Pengerusi PUSAKA.
Dalam pada itu ujar Awang Tengah, usaha sedang dipergiatkan oleh PUSAKA untuk terus memperkasakan industri perkayuan kepada industri nilai tambah tinggi.
Katanya, ini bagi mencapai unjuran nilai eksport RM8 billion pada tahun 2030 dengan Kerajaan Negeri memberi penekanan kepada pembangunan ladang hutan.
“Langkah ini boleh menjamin bekalan bahan mentah yang mampan untuk industri hiliran perkayuan tempatan.
“Justeru itu, perubahan dan anjakan untuk memproses kayu dari ladang hutan untuk menghasilkan produk nilai tambah tinggi terutama sekali engineered wood dan perabot diberi penekanan yang sewajarnya,” kata Awang Tengah. — DayakDaily