Awang Tengah: Pembukaan sempadan negara harus ambil kira keadaan semasa Covid-19

Awang Tengah ketika sidang media di Kuching.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 9 Feb: Cadangan membuka sepenuhnya sempadan negara tanpa keperluan kuarantin wajib seawal 1 Mac depan harus dilaksanakan secara berhati-hati, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Menurut Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa Dan Pelaburan, pelaksanaannya harus mengambil kira perkembangan semasa pandemik Covid-19.


“Yang kita utamakan ialah faktor keselamatan dan kita tidak mahu adanya ‘lock down’ semula walaupun ia memberi kesan yang baik terhadap sektor pelancongan dan juga ekonomi.

“Kita lebih menekankan kesan terhadap faktor keselamatan dan kesihatan rakyat secara keseluruhannya,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu beliau telah merasmikan Hari Integriti & Inovasi Dan Perhimpunan Perdana Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) 2022 di Wisma Sumber Alam.

Tambah Awang Tengah, Sarawak mengalu-alukan pembukaan sempadan negara kerana ia membantu memulihkan ekonomi termasuk industri perkayuan di negeri ini.

Semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lepas katanya yang juga Menteri Sumber Asli Dan Pembangunan Bandar II, industri perkayuan menghadapi pelbagai masalah dari aspek logistik, perkapalan dan import.

“Kita juga membenarkan sesetengah industri untuk mengimport produk luar yang tiada di sini, dan ia bertujuan untuk menambah nilai produk kita.

“Kalau sempadan dibuka sudah tentu ia akan membantu kementerian dan pelawat khususnya pelancong akan datang,” ujar Awang Tengah yang juga Pengerusi PUSAKA.

Cadangan pembukaan sempadan negara seawal 1 Mac depan dipersetujui pada mesyuarat Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang dipengerusikan Tan Sri Muhyiddin Yassin pada semalam.

Muhyiddin dalam kenyataannya bagaimanapun menegaskan, pembukaan sempadan kepada semua negara itu perlu dilaksanakan secara terancang dan berdasarkan penilaian risiko semasa.

Menurut bekas perdana menteri itu, cadangan supaya sempadan negara dibuka sepenuhnya dalam masa terdekat adalah bagi menyokong pemulihan negara.

Persetujuan itu dibuat selepas MPN mempertimbangkan kertas cadangan pembukaan sempadan negara oleh Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud.

Keputusan MPN itu akan dibawa ke peringkat Kabinet untuk diputuskan oleh kerajaan. — DayakDaily