Nilai eksport minyak dan produk berasaskan sawit cecah RM11 bilion setakat Ogos — Abang Johari

Abang Johari (tengah) merasmikan Program Pemindahan Teknologi Sawit di Kuching.
Advertisement

KUCHING, 14 Okt: Jumlah eksport minyak dan produk berasaskan kelapa sawit Sarawak mencatat 3.13 juta tan setakat Ogos 2024.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, nilai eksport setakat bulan tersebut mencecah lebih RM11.02 bilion.

“Ini merupakan peningkatan 13 peratus berbanding RM9.78 bilion pada tahun 2023.

Advertisement

“Bermakna tahun ini ada meningkat pendapatan negeri daripada industri kelapa sawit,” katanya di Perasmian Program Pemindahan Teknologi Sawit di sini, hari ini.

Tambah Abang Johari, minyak kelapa sawit dieksport menerusi Pelabuhan Bintulu dan Tanjung Manis.

Selain itu katanya, Kerajaan Sarawak juga melabur RM200 juta untuk memperbesarkan Pelabuhan Miri.

“Dan ini sudah tentu Pelabuhan Miri akan menjadi pelabuhan untuk mengeksport kelapa sawit di kawasan utara Sarawak.

“Ini sudah tentu sedikit sebanyak dapat menurunkan kos dari sudut pengangkutan dan eksport kelapa sawit,” katanya.

Dalam pada itu, Abang Johari berkata, Sarawak merupakan satu-satunya wilayah yang mempunyai keluasan tanaman sawit terbesar iaitu sebanyak 1.6 juta hektar.

“Dan juga saya difahamkan, kita mempunyai 83 kilang kelapa sawit, 5 kilang pelumat isirong.

“Enam kilang penapis bagi pengilangan dan memposesan buah sawit dan penapisan minyak sawit dan produk keluarannya,” kata Abang Johari. — DayakDaily

Advertisement