Niat mandi wanita terbantut, terkejut dengan kehadiran ular sawa

Anggota APM menangkap seekor ular sawa.

SEMATAN, Sept 13: Seorang wanita yang hendak mandi terkejut apabila menemui seekor ular sawa di bilik mandi di rumahnya di Kampung Sungai Kilong di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.55 petang itu, wanita berkenaan baru hendak mandi sebelum mengesan kehadiran reptilia tersebut.

Pegawai Unit Bencana dan Operasi PDPA Lundu-Sematan, Alexander Amel berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung penemuan ular sawa itu pada pukul 4.56 petang.

Jelasnya, dua anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah kemudian bergegas ke kampung berkenaan untuk mengangkat reptilia berkenaan.

“Apabila tiba, pasukan bomba mendapati seekor ular sawa sepanjang kira-kira 3 meter masih berada di bilik mandi itu.

“Anggota APM kemudian bertindak menangkap ular tersebut dengan menggunakan peralatan khas,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, pihaknya mengambil masa kira-kira 30 minit untuk menangkap ular tersebut.

Katanya, anggota APM kemudian memasukkan ular itu ke dalam bekas khas untuk tindakan lanjut.

“Operasi tamat sepenuhnya pada pukul 5.10 petang sebaik anggota APM tiba di pejabat operasi daerah,” ujarnya. — DayakDaily