KUCHING, 23 Jun: Persatuan bukan kerajaan (NGO) Habitat Indigenous Daerah Untuk Permulihan (Hidup) hari ini menghulurkan bantuan makanan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Samarahan.
Bantuan termasuk cecair pembasmi kuman dan pelitup muka itu diserahkan pengerusinya George Young Si Record kepada DSP Sudirman Kram.
Hidup dalam satu kenyataan hari ini berkata, pertemuan itu merupakan kunjungan hormat Hidup ke atas IPD Samarahan yang bertujuan mengeratkan hubungan baik di antara kedua-dua pihak.
Kedua-dua pihak turut berbincang dan berkongsi pandangan tentang isu-isu berkaitan keselamatan penduduk dan maklumat berhubung perkembangan terkini pandemik Covid-19.
George memaklumkan bahawa objektif Hidup adalah untuk membawa kesedaran berhubung keadaan komuniti terpinggir di desa dan di bandar.
Menurut kenyataan itu, dengan kerjasama masyarakat korporat, Hidup akan membantu menyalurkan bantuan bantuan makanan,perubatan dan kebajikan am kepada komuniti terpinggir.
Dalam pada itu, bantuan yang disumbangkan adalah khusus untuk petugas barisan hadapan IPD Samarahan. — DayakDaily