NGO Dayak sokong lantikan pengerusi Unimas dari etnik Dayak

Pemimpin-pemimpin NGO Dayak yang menyokong kenyataan media tersebut.

KUCHING, 26 Jan: Beberapa NGO Dayak Sarawak menggesa agar pelantikan pengerusi Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) yang baharu dilantik dari kalangan anak tempatan negeri, terutamanya dari kaum Dayak.

Menerusi kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, pemimpin dari tujuh NGO tersebut yakin ramai anak tempatan berkelayakan dan berkaliber menyandang jawatan tersebut.

“Satu daripada perkara yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia (MA63), sistem pendidikan dikekalkan di bawah kawalan kerajaan pusat kecuali di Sabah dan Sarawak.


“Di dalam ucapan sempena Hari Malaysia 2018 yang lalu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah menyatakan komitmen kerajaan untuk ‘mengembalikan status rakan sekutu kepada Sabah dan Sarawak’ sebagaimana termaktub di dalam Perlembagaan Malaysia 1963, selaras dengan prinsip dan semangat yang terkandung di dalam MA63.

“Oleh itu, perkara-perkara yang berkaitan dengan MA63, hak Sarawak seharusnya berjalan lancar dan menunjukkan perkembangan yang baik,” menurut kenyataan tersebut.

Pemimpin-peminpin NGO itu ialah Wellie Henry Majang dari Persatuan Pemikir Dayak Sarawak (DTTAS) dan president DTTAS Elias Lipi Mat, presiden Kongres Kebangsaan Dayak (DNC) Paul Raja, presiden Persatuan Iban Sarawak (PAIS) Samuel Suring dan presiden Harapan Orang Asal Sarawak (HOAS) Leighton Manjah.

Ini termasuk Micheal M Jok dari Pertubuhan Hak Asasi Orang Asal Sarawak (SCRIPS), presiden Persatuan Balang Balai Nyabong (BBN) Mengga Mikui dan Luang Janbi Munan dari Persatuan Aum Besai Dayak Selangor (ABDS).

Pemimpin NGO ini turut menggesa agar kedua timbalan ketua menteri Dayak Sarawak, iaitu Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Tan Sri Dr James Masing untuk meneliti dan membawa perkara ini untuk dibincangkan di Kabinet Negeri.

Kata mereka, ia adalah selaras dengan komitmen Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, bahawa kerajaan negeri komited untuk menjadi adil kepada semua rakyat negeri Sarawak.

NGO ini setuju dengan cadangan MP Lubok Antu,Jugah Muyang bahawa tokoh anak tempatan daripada kaum Dayak yang layak menduduki jawatan itu seperti Profesor Dr Jayum Jawa, Profesor Dr Neilson Ilan Mersat, Profesor Dr Madeline Berma dan ramai lagi.

Pada awal Januari lepas, Tan Sri Dr Kamal Mat Salih telah dilantik menyandang jawatan tersebut namun melepaskannya beberapa hari kemudian setelah pelantikannya mencetuskan kontroversi antara Putrajaya dengan Sarawak.

Bekas MP Wangsa Maju itu berkata tiada sebab lagi untuk beliau memegang jawatan itu selepas kerajaan Sarawak membayangkan mahu anak tempatan menerajui universiti itu.

Beliau merupakan individu bukan dari Sarawak yang pertama dilantik memegang jawatan itu. — DayakDaily