Nelayan terkejut temui bangkai haiwan besar di Pantai Kuala Matu

Penduduk kampung melihat bangkai haiwan besar dipercayai seekor ikan paus yang ditemui terdampar di Pantai Kuala Matu, hari ini.

MUKAH, Mac 13: Seorang nelayan yang dalam perjalanan turun ke laut untuk menangkap ikan terkejut apabila menemui bangkai seekor haiwan aneh di tepi Pantai Kuala Matu, di sini hari ini.

Penemuan bangkai dipercayai seekor ikan paus kira-kira pukul 8 pagi itu menyebabkan penduduk tempatan gempar.

Seorang nelayan yang enggan dikenali berkata, pada mulanya dia terhidu bau busuk di sekitar kawasan pantai itu.

Bagaimanapun katanya, dia tidak mengedahkan tentang bau busuk itu sehingga dia terpandang satu objek besar di tepi pandai tersebut.

Kelihatan bangkai haiwan besar dipercayai seekor ikak paus ditemui terdampar di Pantai Kuala Matu, hari ini.

“Saya pada mulanya ingatkan objek besar itu merupakan longgokan jala ikan yang sudah rosak ditinggalkan di tepi pantai.


“Namun, apabila didekati, rupa-rupanya objek itu merupakan bangkai seekor haiwan yang besar dipercayai seekor ikan paus,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tulang bangkai haiwan yang ditemui terdampar di Pantai Kuala Matu, hari ini.

Tambahnya, panik dengan penemuan itu, dia terus menghubungi rakannya serta pihak berkuasa untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, dia percaya bangkai haiwan itu telah dihanyutkan oleh ombak deras dan terdampar di tepi pantai berkenaan.

“Pihak berkuasa kini difahamkan sedang dalam perjalanan ke sini untuk tindakan lanjut,” ujarnya lagi. — DayakDaily