Lembaga misteri atau hanya zink usang?

Gambar kereta terbabas yang diambil Reno yang dikatakan ada merakam bentuk lembaga manusia melihat keluar dari parit konkrit.

SIMUNJAN, Mac 31: Satu lembaga misteri berbentuk manusia dipercayai telah dirakamkan seorang penduduk Kampung Melanjok yang mengambil gambar sebuah kereta yang telah terbabas dan terjatuh ke parit konkrit besar di tepi jalan di kampung itu, di sini, awal pagi semalam.

Reno Abai Util, 25, berkata gambar terbabit diambilnya mengunakan telefon pintar awal pagi semalam dan beliau telah memuatnaik gambar tersebut dalam laman sosial Facebook bagi dikongsikan dengan kenalan dan rakan sekampung.

“Bagaimanapun ada rakan sekampung menyedari adanya lembaga berbentuk manusia dalam gambar terbabit yang seperti seorang manusia menjenguk keluar dari parit sedangkan ketika saya mengambilnya mengunakan telefon bimbit tiada orang yang ada dalam parit ataupun dalam kereta yang terbabas,” katanya.

Gambar kejadian kereta terbabas yang dimuatnaik Reno di laman sosial Facebook.

Reno berkata beliau tidak tahu bagaimana lembaga berbentuk manusia itu boleh terbentuk dalam gambar terbabit dan menjangka berkemungkinan hanya ilusi yang terhasil dari zink usang yang terjatuh dan bersepah di hadapan kereta setelah dilanggar ketika kejadian.

Katanya kereta terbabas itu yang dinaiki seramai lima penumpang dari Serian telah terbabas dan jatuh ke dalam parit berkenaan sekitar jam 4.30 pagi semalam tetapi semua penumpangnya selamat dan berjaya keluar dari kenderaan.


Katanya kereta tersebut bagaimanapun hampir melanggar sebuah rumah penduduk kampung yang terletak di tepi jalan dengan satu keluarga sedang tidur didalamnya ketika kejadian berlaku. — DayakDaily