Nasib malang enam sekeluarga yang musnah rumah dapat perhatian Julaihi

Julaihi (tiga dari kiri) menyampaikan bantuan kepada mangsa kebakaran di Kampung Hulu, Sebuyau.

SEBUYAU, Ogos 31: Nasib malang enam sekeluarga yang hilang tempat tinggal selepas kediaman mereka di Kampung Hulu musnah terbakar semalam mendapat perhatian Menteri Muda Jalan Pesisir Sarawak, Datuk Julaihi Narawi.

Julaihi, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau, serta rombongan telah menyerahkan sumbangan berupa barangan keperluan dapur, makanan, minuman serta bantuan wang tunai kepada mangsa kebakaran di kampung itu.

Julaihi segera bertindak dengan turun padang menyampaikan sumbangan itu setelah memperoleh maklumat berhubung musibah menimpa keluarga terbabit.


“Saya bersimpati dengan nasib enam sekeluarga ini kerana mereka ditimpa kesusahan akibat rumah mereka ranap terbakar.

“Jadi, saya berharap sumbangan yang disampaikan ini dapat membantu meringankan beban mangsa sekeluarga,” katanya di sini hari ini.

DayakDaily semalam melaporkan enam sekeluarga tinggal sehelai sepinggang apabila rumah mereka di Kampung Hulu di sini musnah terbakar petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu, sebuah rumah jenis struktur tidak kekal telah ranap terbakar 100 peratus.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simunjan, Mat Undek, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada pukul 4.09 petang.

Katanya, sepasukan 10 anggota bomba kemudian bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan kerja-kerja memadam kebakaran.

“Pasukan bomba tiba di kawasan kejadian pada pukul 5.14 petang memandangkan jarak BBP Simunjan ke lokasi adalah 58 kilometer.

“Tiada tindakan operasi dijalankan kerana kebakaran sudah padam, namun anggota bomba hanya membuat pemantauan dan ‘overhaul’,” katanya.

Punca dan jumlah kerugian akibat kejadian itu masih lagi dalam siasatan. — DayakDaily