Nanta: Program imunisasi barisan hadapan ekonomi perdagangan domestik harus disegerakan

Dato Sri Alexander Nanta Linggi

KUCHING, 4 Julai: Pemberian vaksin kepada pemain industri sektor perdagangan pengedaran dan peruncitan di seluruh negara perlu disegerakan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, ia bagi membantu mempercepatkan pemulihan ekonomi domestik di negara ini.

“Perkara ini wajar diberi perhatian serius dengan mengambil kira kepentingan sektor perdagangan dalam negeri dan peruncitan yang memainkan peranan penting sebagai penggerak ekonomi dan perdagangan domestik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Kesan dari pandemik Covid-19 tambah Nanta, golongan ini tidak dibenarkan beroperasi atau beroperasi secara terhad.

Ini telah mengakibatkan mereka terpaksa menanggung bebanan kewangan serta pekerja yang hilang pendapatan sehingga tidak dapat menyara kehidupan keluarga.

Justeru jelas beliau, Kerajaan perlu memberikan keutamaan kepada program imunisasi industri ini.

“Ini adalah kerana kepentingannya sebagai enjin ekonomi negara dan risiko yang dihadapi oleh industri ini di mana tenaga kerja yang sentiasa berinteraksi dan menyiapkan logistik yang digunakan oleh pengguna.

“Risiko jangkitan yang dihadapi oleh tenaga kerja sektor ini setiap hari adalah sangat serius dan boleh membantutkan usaha Kerajaan untuk mencapai tahap imuniti kelompok yang dikehendaki,” ujar Nanta.

Dalam kenyataan yang sama, beliau juga mahukan sektor-sektor di bawah KPDNHEP harus diberi perhatian sewajarnya dalam pelaksanaan program imunisasi Covid-19.

Kolaborasi strategik antara Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (Mosti), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan KPDNHEP dapat memastikan semua yang terlibat di dalam sektor-sektor mendapat suntikan vaksin secepat mungkin.

Tegas beliau, KPDNHEP mencadangkan program imunisasi ini bermula bulan Julai 2021.

“Program Imunisasi Barisan Hadapan Ekonomi ini sangat penting sebagai persiapan pembukaan semula pelbagai sektor hadapan ekonomi dalam fasa Program Pemulihan Negara (PPN) selanjutnya.

“Ini juga selaras dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang menyatakan bahawa penerima vaksin mula membina imuniti dalam diri selepas dua hingga tiga minggu divaksin,” katanya. — DayakDaily