Nanta: Penduduk di Kapit dan Song dipohon bertenang, elak pembelian panik semasa PKP

Datuk Sri Alexander Nanta Linggi — file pic

KUCHING, 1 Feb: MP Kapit Datuk Seri Alexander Nanta Linggi memohon kepada semua penduduk di Kapit dan Song yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) agar kekal bertenang dan mematuhi segala arahan pihak berkuasa untuk kekal berada di rumah.

Beliau memandang serius penularan jangkitan Covid-19 selain menyedari kegusaran yang dihadapi oleh semua penduduk di kedua-dua kawasan yang sebelum ini merupakan kawasan hijau.

“Pejabat wakil rakyat Parlimen Kapit dan Adun Bukit Goram akan bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk memastikan penularan wabak Covid-19 berjaya dikekang sepenuhnya.


“Wakil saya di Kapit juga akan cuba menyalurkan bantuan yang boleh disampaikan kepada penduduk yang terjejas dan akan sentiasa memaklumkan dan mengemas kini informasi kepada penduduk,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Nanta yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memohon semua penduduk bekerjasama dan mengelakkan pembelian panik kerana situasi itu akan mengeruhkan keadaan.

Katanya, anggota Penguat Kuasa KPDNHEP Sarawak telah diarahkan untuk sentiasa memantau keberadaan bekalan barangan keperluan penduduk di kawasan terlibat sepanjang PKP ini.

“Selain itu, anggota Penguat Kuasa KPDNHEP juga akan melakukan pemantauan bagi mengelakkan sebarang aktiviti pencatutan oleh peniaga di waktu sukar ini,” ujar Nanta.

Beliau turut menasihatkan masyarakat supaya meningkatkan kesedaran mengenai amalan pencegahan jangkitan virus ini demi kebaikan semua pihak.

“Perkara paling penting adalah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta mengamalkan norma baharu terutama membabitkan pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal, sanitasi tangan dan mengelakkan perhimpunan ramai,” jelas beliau lagi.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak pada semalam mengumumkan pelaksanaan PKP selama dua minggu di Kapit dan Song, berkuatkuasa 12.01 tengah malam 2 Februari 2021 hingga 11.59 malam 15 Februari 2021. — DayakDaily