Nanta: Kerajaan berusaha mempertingkatkan mekanisme pelaksanaan harga minyak masak bersubsidi.

Datuk Sri Alexander Nanta Linggi — file pic
Advertisement

KUCHING, 8 Jun: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sedang berbincang dengan beberapa kementerian dan agensi yang berkaitan untuk mempertingkatkan mekanisme pelaksanaan harga untuk minyak masak bersubsidi.

Menterinya Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, ia termasuk harga untuk minyak masak tidak bersubsidi di pasaran bagi mengurangkan beban pengguna.

“Kerajaan akan memaklumkan hasil dari perbincangan dan mekanisme yang dipersetujui,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Advertisement

Menurut Nanta, pada masa ini harga minyak masak mentah (CPO) di pasaran dunia sudah mencecah lebih RM4,500 satu tan metrik berbanding sebelum ini hanya sekitar RM2,500 satu tan metrik sahaja.

Katanya, ia bersamaan lebih kurang RM4.50 per kg sebelum diproses dan dibotolkan.

“Ini bermakna kos minyak sawit mentah sahaja sebelum dibotolkan sudah melebihi RM22 untuk 5kg.

“Itu tidak termasuk kos-kos lain seperti pemprosesan, pembotolan, pengangkutan dan keuntungan di semua peringkat kilang, pemborong, pengedar dan peruncit,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Nanta berkata kerajaan memberi jaminan kualiti minyak masak sawit bersubsidi yang dijual dalam polibeg adalah sama dengan yang dijual dalam botol.

Jelas beliau, minyak masak yang dijual dalam botol plastik bersaiz 2kg, 3kg, 5kg dan dalam tin 17kg adalah tidak bersubsidi di mana harganya ditentukan oleh harga CPO di pasaran dunia.

“Rakyat boleh membuat pilihan sama ada hendak membeli minyak masak bersubsidi dalam kemasan polibeg 1kg atau yang tidak bersubsidi dalam kemasan botol plastik dan tin,” katanya lagi.

Kerajaan melalui KPDNHEP dan Kementerian Kewangan telah memperuntukkan sebanyak RM600 juta tahun ini berbanding RM528 juta tahun lalu bagi melaksanakan Program Skim Rasionalisasi Minyak Masak (COSS).

COSS adalah program subsidi minyak masak bertujuan untuk meringankan bebanan pengguna dalam kos sara hidup mereka dan terbuka kepada semua golongan untuk mendapatkan minyak masak dengan harga berpatutan.

Tambah Nanta, subsidi ini diberikan kepada minyak masak yang dipek dalam bungkusan polibeg 1 kilogram dan ditawarkan kepada pengguna pada harga mampu milik yang sangat munasabah iaitu RM2.50 sepeket walaupun harga minyak masak mentah (CPO) di pasaran dunia meningkat pada masa ini.

Kerajaan telah memperuntukkan 60,000 tan metrik sebulan bersamaan dengan 60 juta polibeg sebulan (720 juta polibeg setahun) untuk kegunaan seluruh rakyat Malaysia semua peringkat di seluruh negara. — DayakDaily

Advertisement