Nanta: Karnival Kepenggunaan dengan pengisian berinformatif beri impak positif kepada warga Kapit

Nanta ketika berucap di Majlis Penutupan Karnival Kepenggunaan di Fort Sylvia di Kapit.

KAPIT, 19 Sept: Karnival Kepenggunaan Peringkat Daerah Kapit yang berlansung dari 15 hingga 18 Sept 2020 telah memberi impak positif kepada warga Kapit.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Alexander Nanta Linggi berkata ia bukan sahaja memberi manfaat dari sudut ekonomi malahan juga dengan pengisian informasi kepenggunaan melalui ceramah yang berkesan.

“Ceramah berhubung hak-hak pengguna dan transaksi dalam talian, serta penipuan siber telah mendapat sambutan menggalakkan dari warga Kapit,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penutupan rasmi Karnival Kepenggunaan-Kempen Beli Barangan Malaysia Peringkat Daerah Kapit 2020 di Fort Sylvia di sini semalam.

Selain itu tambah Nanta, aktiviti sampingan yang dijalankan sangat berinformatif serta menyajikan hadiah yang menarik kepada pengunjung.

Katanya, karnival juga merupakan salah satu medium yang melibatkan penyertaan pelbagai peringkat usia dan riadah kekeluargaan.

Nanta (tiga dari kiri) menerima cenderahati dari Chrislogo sambil diperhatikan Hasnol (dua dari kiri) di majlis itu.

Sementara itu katanya lagi, Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) yang merupakan satu inisiatif dan usaha kerajaan turut diberi penekanan di dalam karnival selama empat hari itu.

“Kempen ini bertujuan memperkukuhkan perbelanjaan domestik dengan menggalakkan pengguna untuk membeli barangan tempatan selain menggalakkan rakyat untuk berbelanja.

“Tentunya antara tujuan utama adalah bagi membantu usahawan kecil tempatan di Kapit dalam memasarkan produk-produk mereka seperti makanan, produk tempatan, kraf tangan dan sebagainya kepada orang ramai,” ujar Nanta.

Beliau yakin bahawa inisiatif ini dapat menggalakkan perdagangan domestik melalui penyediaan platform kepada pengeluar atau pengedar dalam memasar dan mempromosi produk serta barangan keperluan secara terus kepada pengguna.

Karnival dianjurkan KPDNHEP Sarawak dengan kerjasama Pejabat Daerah Kapit.

Turut hadir Ketua Setiausaha KPDNHEP Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad, Pengarah KPDNHEP Sarawak Datuk Stanley Tan dan Pegawai Daerah Kapit Chrislogo Sabut.-DayakDaily