Nanta: GPS menang cemerlang, bukti rakyat percaya manifestonya

Alexander Nanta Linggi
Advertisement

KUCHING, 18 DIS: Kemenangan Gabungan Parti Sarawak (GPS) adalah cemerlang dan bukti rakyat percayakan manifesto serta perjuangan parti, kata Setiausaha Agung GPS Dato Sri Alexander Nanta Linggi.

“Memang jelas kemenangan GPS kali ini amat cemerlang, ia lebih daripada apa yang kita menang pada pilihanraya 2016 dahulu, ada penambahbaikan.

“Bagi saya mengapa kita menang besar kerana rakyat percayakan manifesto dan perjuangan GPS yang menumpukan perhatian kepada usaha meneruskan pembangunan di luar bandar dan di bandar,” katanya.

Advertisement

Beliau berkata demikian ketika ditemui di majlis memantau keputusan Pilihanraya Negeri Ke-12(PRN12) bersama Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) malam ini.

Tambah Nanta, kemenangan GPS yang diterajui Abang Johari sebagai pengerusi sangat menyeluruh walaupun diasak oleh pihak pembangkang.

Katanya, pihak pembangkang sudah ketandusan modal dan hanya mampu melemparkan tuduhan tidak berasas terhadap GPS.

“Rakyat hanya inginkan kerajaan yang melakukan yang terbaik buat mereka. Ertinya, pembangunan masih diperlukan di Sarawak.

“Juga kerajaan yang menjaga kepentingan Sarawak dimana hak Sarawak diutamakan dan ini adalah satu tarikan hebat dari GPS,” ujar Nanta yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP)

GPS pada PRN12 ini mencatat kemenangan besar 76 kerusi sekaligus mengatasi 72 kerusi yang diraih Barisan Nasional pada PRN11 pada 2016.

Keputusan keseluruhan tidak rasmi setakat pukul 11 malam ini menyaksikan DAP cuma meraih dua kerusi daripada 26 kerusi yang ditandingi.

Pada PRN lalu, DAP cuma memperoleh tujuh kerusi.

Parti Sarawak Bersatu (PSB) pula yang pertama kali bertanding meraih empat kerusi.

Manakala Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (Amanah) masing-masing kalah kesemua 28 dan lapan kerusi yang ditandingi mereka. — DayakDaily

Advertisement