Nanta: GPS kekal sokong PN, gesa Anwar hentikan permainan politik

Datuk Seri Alexander Nanta Linggi

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 23 SEPTEMBER:Gabungan Parti Sarawak(GPS) masih kekal memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada kerajaan Perikatan Nasional(PN) di bawah kepimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Setiausaha Agung GPS Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, GPS tiada sebarang kaitan dengan Parti Keadilan Rakyat(PKR) yang diketuai oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, GPS kekal berpegang teguh kepada prinsip perlunya sebuah kerajaan Persekutuan yang stabil demi kebaikan rakyat dan ekonomi negara.

“Tambahan pula ketika negara sedang berperang dengan penularan wabak Covid-19 dan fokus sepenuhnya ditumpukan dalam memulihkan ekonomi rakyat dan negara,’katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Nanta mengingatkan Anwar agar menghentikan permainan politik tidak matang demi mencapai kepentingan dan cita-cita peribadi.

Tambah beliau, sebagai seorang ahli politik veteran dan berpengalaman, Anwar seharusnya menghentikan sebarang cubaan untuk mewujudkan ketidakstabilan di dalam negara yang hanya akan memberi kesan buruk kepada rakyat dan ekonomi.

“Kepentingan rakyat dan negara pada ketika kita sedang menghadapi cabaran penularan wabak Covid-19 yang telah meragut ribuan nyawa di seluruh dunia, perlu diberi keutamaan,” ujar beliau.

Menerusi kenyataan itu juga ,Nanta menegaskan bahawa parti ini menolak sekerasnya PKR yang bersekutu dengan pihak tidak bertanggungjawab dan angkuh melemparkan tuduhan bahawa Negeri Sarawak akan bankrap di bawah kepimpinan GPS.

GPS dianggotai oleh Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak(PDP). — DayakDaily

Datuk Alexander Nanta Linggi