Nanta: Ekspot penutup mulut dan hidung dipertimbang dihentikan

Nanta (tiga kanan) pada tinjauan terhadapa barangan yang dijual di Pasaraya Ta Kiong, Kuching.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 14 Mac: Kerajaan mempertimbang kemungkinan menghentikan ekspot penutup mulut dan hidung ke luar negara, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Alexander Nanta Linggi.

Katanya, langkah tersebut terpaksa diambil untuk memastikan keperluan rakyat diutamakan akibat penularan wabak Covid-19 di seluruh negara kini.


“Buat masa sekarang kita belum menghentikan ekspot penutup mulut dan hidung, kita mengkaji kemungkinan dan akan melaksanakannya jika bekalan untuk pasaran tempatan berkurangan.

“Dalam suasana biasa kita memang mengekspot barangan tersebut tetapi pada ketika ini rakyat kita lebih memerlukannnya.

“Namun yang pasti kementerian memandang serius permasalahan ini dan pengumuman berhubungan sekatan ekspot terhadap penutup mulut dan hidung akan dibuat dalam beberapa hari lagi,” katanya pada sidang media setelah melakukan tinjauan ke Pasaraya Ta Kiong, di sini, hari ini.

Dalam menghadapi penularan wabak Covid-19 tambah Nanta, kementeriannya telah mengarahkan pengeluar penutup hidung dan mulut untuk meningkatkan pengeluaran dan tidak memasarkannya ke luar negara.

Tambah beliau, proses menghasilkan penutup mulut dan hidung bukanlah sesuatu yang mudah kerana komponennya tidak dihasilkan di dalam negara.

“Saya difahamkan komponennya diimpot dari China dan juga dari negara Eropah. Masalah sekarang ialah seluruh negara di dunia berkehendakkan barang yang sama,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Nanta menasihati orang ramai untuk menggunakan penutup mulut dan hidung dengan penuh kepertanggungjawaban agar tidak membazir.

Orang ramai juga diminta untuk tidak membeli keperluan tersebut dengan jumlah yang banyak di samping peniaga juga diminta untuk tidak menjual kepada individu dengan jumlah yang banyak.

“Ini untuk memastikan penutup mulut dan hidung mencukupi untuk kegunaan seluruh rakyat Malaysia,” tegas beliau.

Turut hadir Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak, Datuk Dr Sim Kui Hian. —DayakDaily