Oleh Chris Bishop
SERIAN, MEI 27: Bekalan makanan asas khususnya beras mencukupi jika negara dilanda gelombang kedua wabak Covid-19, tegas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Alexander Nanta Linggi.
Katanya, selain bekalan dalam negara yang dijamin mencukupi, kementerian telah mengenalpasti bekalan dari sumber-sumber lain seperti Myanmar dan Thailand.
“Baru-baru ini Vietnam dilaporkan menghentikan penjualan beras ke Malaysia, tetapi rakyat tidak perlu bimbang kerana kita sentiasa mencari negara sumber baharu.
“Kita bersama dua kementerian di peringkat pusat telah menyusun strategi untuk memastikan bekalan makanan seperti beras sentiasa mencukupi.
“Jika masalah ini berterusan, kita boleh mendapatkan sumber beras dari Myanmar dan Thailand,” katanya pada sidang media di Serian hari ini.
Terdahulu beliau bersama menteri dan menteri-menteri muda Kerajaan Negeri telah melakukan tinjauan barangan keperluan musim perayaan Hari Gawai di Pasar Basah Serian.
Justeru, Nanta menyeru rakyat agar tidak bimbang kerana bekalan makanan asas mencukupi untuk menampung keperluan rakyat di seluruh negara.
Menurut beliau, kerajaan sentiasa memantau situasi dan stok bekalan makanan dapat bertahan walaupun wabak Covid-19 menunjukkan trend menaik.
“Kita boleh memastikan barangan makanan adalah mencukupi kerana KPDNHEP bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, dan Kementerian Pertanian.
“Kami adalah satu kluster yang memantau dan memastikan bekalan mencukupi di seluruh negara,” ujar Nanta.—DayakDaily