Ayam pencen antara barangan harga terkawal Perayaan Gawai Dayak

Nanta (dua dari kiri) pada tinjauan di Pasar Basah Serian hari ini (Mei 27, 2020). Turut kelihatan Manyin (kiri).

SERIAN, Mei 27: Ayam pencen atau lebih dikenali sebagai ayam tua antara barangan harga terkawal bagi Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Gawai Dayak tahun ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, ini disebabkan ayam pencen sentiasa mendapat permintaan yang tinggi di Sarawak setiap kali menjelang perayaan Hari Gawai Dayak.

“Mungkin disebabkan masyarakat Dayak gemar menggunakannya (ayam pencen) untuk membuat masakan ayam pansuh.


“Di kawasan luar bandar, ayam pencen ini mendapat permintaan yang tinggi, maka kita telah meletakkannya di dalam senarai SHMMP Hari Gawai,” kata Nanta.

Beliau berkata demikian pada sidang media setelah melakukan tinjauan harga barangan keperluan musim perayaan di Pasar Basah Serian hari ini.

Pada tinjauan tersebut, Nanta berpuas hati dengan tindakan para peniaga yang rata-ratanya mematuhi SHMMP dan tidak sewenang-wenangnya menaikkan harga barangan.

Katanya, beberapa peniaga didapati menjual barangan terkawal dengan harga yang lebih rendah daripada harga yang telah ditetapkan.

“Ini menunjukkan mereka adalah peniaga yang beretika dan tidak semata-semata ingin mengaut keuntungan dengan menaikkan harga barangan,” ujar Nanta.

Dalam pada itu, KPDNHEP menerusi satu kenyataan hari ini mendedahkan terdapat penambahan sebanyak 11 barangan harga terkawal lagi di bawah SHMMP Hari Raya Puasa dan Hari Gawai Dayak 2020.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan barangan terkawal di bawah SHMMP Hari Raya Puasa adalah 20 barangan dan Hari Gawai Dayak adalah 22 barangan.

Tarikh kuat kuasa pertambahan 11 barangan ini adalah pada 22 Mei sehingga 3 Jun iaitu selama 13 hari.

Senarai barangan harga terkawal SHMMP Hari Gawai Dayak termasuk ayam hidup, ayam ‘standard’, ayam super, ayam tua hidup, kepak ayam, telur ayam gred A, B dan C, daging babi (perut), daging babi (daging dan lemak), babi hidup (pengeluar), tomato dan kubis bulat import.

Turut hadir semasa tinjauan di Pasar Basah Serian ialah Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Datuk Seri Michael Manyin dan menteri-menteri muda. — DayakDaily