Nanta arah pihak bertanggungjawab segera siapkan projek SK Kpg Baru Kapit

Nanta melakukan tinjauan ke SK Kampung Baru Kapit yang gagal siap mengikut jadual.
Advertisement

Oleh DayakDaily Team

KUCHING, 3 Sep: Menteri Kerja Raya Dato Sri Alexander Nanta Linggi mahu pihak bertanggungjawab segera menyiapkan projek SK Kampung Baru Kapit.

Menurut beliau, kontraktor terdahulu gagal menyiapkannya mengikut jadual dan kontrak sudah diberhentikan.

Advertisement

“Saya difahamkan proses lantikan semula kontraktor akan memakan masa sehingga setahun.

“Ini tentunya akan menimbulkan kegusaran di kalangan ibu bapa yang terpaksa menunggu lebih lama sebelum dapat menghantar semula anak mereka di sekolah ini,” kata Nanta dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau yang juga MP Kapit berharap langkah-langkah yang akan diambil oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak dan Kementerian Pendidikan Malaysia nanti dapat membantu menyiapkan projek ini secepat mungkin.

Sementara itu, Nanta memaklumkan bahawa terdapat 14 buah sekolah dari Kapit, Song dan Belaga telah diangkat oleh JKR Sarawak.

Ia adalah bagi pelaksanaan kerja-kerja pembaikan bangunan daif di sekolah terbabit yang melibatkan kos sebanyak RM2.2 juta.

“Buat masa ini, kerja-kerja telah dimulakan di lima buah sekolah rendah dan dua sekolah menengah,” kata Nanta. — DayakDaily

Advertisement