Oleh DayakDaily Team
KUCHING, 27 Nov: Menteri Kerja Raya Dato Sri Alexander Nanta Linggi mengarahkan pasukan pejabatnya di Kapit di melihat keperluan penduduk terjejas banjir dan menyalurkan bantuan segera.
Menerusi satu kenyataan hari ini, Nanta yang juga Ahli Parlimen Kapit berkata beliau sedih dan merakamkan rasa simpati terhadap semua penduduk di Rumah Dennis Anak Langok Amang Ulu, di Jalan Selirik Kapit.
Penduduk di rumah panjang tersebut antara yang terkesan teruk akibat dilanda banjir pagi ini.
“Kawasan rumah panjang ini mula dinaiki air seawal jam 6 pagi tadi dan telah menenggelamkan hampir kesemua kenderaan yang diparkir di kawasan rumah panjang ini.
“Beberapa rumah panjang di kawasan ini juga telah terjejas akibat hujan lebat yang berterusan, menyebabkan paras air meningkat dengan cepat dan mengancam keselamatan penduduk,” katanya.
Tambah Nanta, Rumah Dennis baru sahaja beliau lawati pada September tahun ini bagi meninjau perkembangan kerja naik taraf selepas menerima peruntukan sebanyak RM1.3 juta yang diluluskan oleh Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tahun lalu.
Beliau turut bersedih dengan kejadian tragis di mana seorang mangsa ditemui meninggal dunia selepas terperangkap di dalam kereta akibat banjir yang melanda di kawasan itu.
Katanya, mangsa Bangau Amping, 75, yang merupakan pesara paderi sedang dalam perjalanan pulang selepas menghantar isterinya yang berniaga di hadapan SK Methodist, Kapit.
“Semasa kejadian, air telah melepasi jalanraya akibat dari hujan yang turun sejak malam tadi dan arus kuat telah menyebabkan kereta bersama mangsa dihanyutkan ke dalam parit berdekatan.
“Mangsa telah berjaya di keluarkan sekitar jam 7.40 pagi tadi dan telah disahkan meninggal dunia oleh pihak perubatan yang telah hadir ke tempat kejadian,” ujar Nanta. — DayakDaily