Nancy: Kementerian pelancongan Sarawak miliki bidang kuasa sendiri

Nancy(kanan) menyampaikan bantuan kepada salah seorang pelajar di Rumah Rehat Sri Simunjan.

KUCHING, 2 Okt: Sarawak memiliki bidang kuasa sendiri berhubung aktiviti pelancongan di dalam negeri, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Dato Sri Nancy Shukri.

Justeru menurut beliau, tiada keperluan bagi Sarawak untuk memohon menyertai Gelembung Pelancongan seperti yang telah dilaksanakan di Pulau Langkawi.

“Tidak perlu memohon kerana Sarawak ada kementeriannya sendiri.


“Itu adalah bidang kuasa mereka,” katanya pada sidang media di Rumah Rehat Sri Simunjan hari ini.

Jelas Nancy, perkara tersebut akan dibincangkan bersama Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Abdul Karim Hamzah pada satu acara di Kampung Budaya Sarawak esok.

Dalam pada itu, Nancy yang juga MP Batang Sadong berkata satu mesin pengeluaran duit (ATM) dengan kemudahan deposit akan ditempatkan berhampiran Rumah Rehat Sri Simunjan seawal tahun depan.

Katanya, proses permohonan sudah dibuat dan telahpun diluluskan oleh kementerian.

“Proses menyediakan infrastruktur ini memerlukan tempoh 2 bulan, harapan kita pada tahun depan sudah ada ATM.

“Dengan ini, penduduk Simunjan akan ada 2 mesin pengeluaran setelah Agro Bank menempatkan ATM terdahulu,” ujar beliau.

Terdahulu, Nancy telah mengadakan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin di SMK Simunjan No. 1.

Manakala di Rumah Rehat Sri Simunjan, Nancy turut menyerahkan bantuan kepada pelajar serta menyampaikan cek Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung(JKKK) Kampung Wawasan Sungai Lingkau, SK Abang Man dan SK Sageng. — DayakDaily