Nahas kemalangan di Samarahan, ragut satu nyawa

Mangsa yang mengalami kecederaan parah di kepala disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

SAMARAHAN, 27 Mei: Seorang lelaki disahkan meninggal dunia selepas terlibat kemalangan kendiri di Kilometer 11 Jalan Datuk Mohd Musa, di sini semalam.

Mangsa dikenali sebagai Michael Demong berusia 43 tahun dan berasal dari Rumah Killing Buyong Bangat, Betong.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Supt Alexson Naga Chabu berkata mangsa semasa kejadian dikatakan menunggang motosikal dari arah Kota Samarahan menuju ke Kota Sentosa pada jam 4.33 petang.

Jelasnya, setiba di lokasi kejadian mangsa dikatakan gagal mengawal motosikalnya lalu melanggar kon pembahagi jalan di sebelah kiri dan terus jatuh atas jalan.

Mangsa yang mengalami kecederaan di muka dan kepala disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke rumah mayat Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk bedah siasata.

Kes tersebut masih disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — DayakDaily