Nahas empat kenderaan, sembilan pelajar sekolah rendah nyaris maut

Kelihatan kesan kemalangan di Jalan Batu Kawah.

Oleh Dean Adam

KUCHING, Julai 10: Satu kemalangan melibatkan empat kenderaan di Jalan Batu Kawah berhampiran Kilang Paragon di sini awal pagi tadi telah menyebabkan kira-kira sembilan pelajar sekolah rendah berdepan detik mencemaskan.

Kejadian kira-kira pukul 6.10 pagi itu telah mengakibatkan sebuah van jenis Nissan yang dinaiki pelajar SJKC Chung Hua Stapok telah terbabas ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan dua buah kenderaan lain.

Difahamkan, kemalangan tersebut telah mengakibatkan beberapa orang pelajar cedera dan ada yang patah tangan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu berkata, siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku apabila sebuah kereta Perodua Myvi yang dipandu seorang remaja berusia 19 tahun dari arah Kuching ke Batu Kawah telah merempuh belakang van yang dinaiki pelajar berkenaan.

Katanya, impak kejadian itu mengakibatkan van yang dipandu seorang wanita berusia 62 tahun hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan dan melanggar dua kenderaan lain.

Kelihatan kesan kemalangan di Jalan Batu Kawah.

“Kenderaan lain yang terlibat dengan pertembungan itu ialah sebuah Toyota Innova dan Perodua Viva.

“Bagaimanapun, kedua-dua pemandu kenderaan tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan, begitu juga dengan wanita yang memandu van itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Alexson menambah, kejadian tersebut juga telah mengakibatkan berlakunya kesesakan teruk di laluan berkenaan.

Katanya, mangsa yang cedera telah dibawa ke Hospital Umum Sarawak untuk menerima rawatan lanjut.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya. — DayakDaily