Nafi keluar dewan, sebaliknya ikuti bacaan pertama pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan hingga selesai — Rohani

Rohani (tiga kanan) di program perasmian Jum Berambeh Batang Lupar peringkat Sebuyau kelmarin.

Oleh Chris Bishop

SEBUYAU, April 7: Dakwaan yang mengatakan Ahli Parlimen (MP) Sarawak keluar dewan bagi memprotes bacaan pertama pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan adalah tidak benar.

MP Batang Lupar Dato Sri Rohani Abdul Karim sebaliknya berkata mereka hanya keluar dewan selepas dimaklumkan ada membuat sidang media mengenai pendirian mereka terhadap situasi tersebut.


“Kami tidak keluar dewan, sebaliknya kami habiskan bacaan pertama Rang Undang-Undang (RUU) Pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan.

“Malah, kami telah meminta wakil daripada Sabah dan Sarawak untuk turut menyuarakan agar RUU tersebut ditarik balik,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas merasmikan Program Jum Berambeh P.201 Batang Lupar Peringkat Sebuyau, kelmarin.

Menurut Rohani, terdapat asas untuk menarik balik disebabkan fakta-fakta yang dimasukkan di dalam RUU itu tidak lengkap.

“RUU itu hanya mengatakan supaya Sabah dan Sarawak menjadi satu daripada negeri tetapi pindaan itu kami melihat tidak mempunyai banyak maknanya.

“Alangkah eloknya kita balik kepada Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang mana perjanjian itu dengan jelas meletakkan Sabah, Sarawak, Singapura dan Malaya (Semenanjung) satu gabungan atau ‘equal partner’,” ujarnya.

Beliau menambah, terdapat juga asas untuk RUU itu ditarik balik memandangkan Jawatankuasa Pemandu dan Jawatankuasa Teknikal mengenai MA63 dan hak-hak Sarawak dan Sabah sedang diperhalusi di mana ia dipengerusikan sendiri oleh Perdana Menteri dan Ketua Menteri Sabah dan Ketua Menteri Sarawak.

“Kami rasa itu adalah proses yang terbaik di peringkat tinggi untuk kita mengupas secara terperinci akan hak-hak yang termaktub di dalam MA63 yang sepatutnya kembali kepada Sarawak,” kata beliau.

Pada ketika itu, RUU itu hendak dibaca buat kali pertama, beberapa MP Sabah dan Sarawak serta pembangkang telah membuat protes.

“Ia dimulakan dengan Datuk Seri Panglima Dr Maximus Johnity Ongkili, diikuti Dato’ Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta Datuk Dr Jeffery Gapari Kitingan dan diikuti rakan-rakan pembangkang.

“Kita semua protes dan mohon daripada Speaker untuk diputuskan. Speaker telah menyatakan minta usul dibawa ke dalam dewan untuk menarik balik RUU tersebut.

“Jadi, kita sama-sama menanti sehingga habis diputuskan Speaker dan kami berdiri beramai-ramai menunjukkan bahawa kami menyokong apa yang telah disebut wakil-wakil kita sebelum ini,” katanya.

Rohani melahirkan rasa sedih apabila permintaannya supaya MP Pakatan Harapan daripada Sabah dan Sarawak untuk berdiri sebagai tanda solidariti tidak dipenuhi.

“Saya amat sedih apabila saya ajak bersama rakan-rakan MP Pakatan Harapan daripada Sabah dan Sarawak untuk turut berdiri tidak dipenuhi.

“Saya ajak bersama mereka berdiri bagi menunjukkan solidariti tetapi mereka tidak.

“Saya mengatakan ini tidak ada kena mengena dengan pendirian politik tetapi ini untuk mengekalkan hak Sarawak dan Sabah melalui MA63,” katanya.

Tegas Rohani, semua MP Sarawak duduk dan mengambil bahagian di dalam dewan mengenai pindaan perlembagaan yang ada kena mengena dengan Sarawak sehingga habis diputuskan oleh Speaker. — DayakDaily