MYTV latih golongan belia dari luar bandar

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelagus, Wilson Nyabong Ijang (empat dari kiri) dan Panglima Medan Timur Tentera Darat Leftenan Jeneral Dato’ Wira Mohd Zaki Mokhtar (tiga dari kiri) memotong riben sebagai simbolik perasmian penutup program di SMK Kapit 2.

KAPIT, Dis 14: Majlis penutupan Program Transformasi Vokasional Belia (MYTV) telah berlangsung di Dewan Kejora SMK Kapit 2 di sini hari ini.

Majlis tersebut telah dilaksanakan bersama Program Mobile Outreach (MOP).

Majlis penutupan MYTV itu disempurnakan secara bersama oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelagus, Wilson Nyabong Ijang, dan Panglima Medan Timur Tentera Darat Leftenan Jeneral Dato’ Wira Mohd Zaki Mokhtar.


Program MYTV itu telah dilaksanakan sejak tahun 2015.

Program ini merupakan salah satu inisiatif strategi lautan biru kebangsaan atau National Blue Ocean Strategy (NBOS) yang dilaksanakan bersama oleh kerajaan negeri Sarawak dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Di samping itu, sebanyak 20 agensi yang lain meliputi jabatan kerajaan, sektor swasta, korporat dan pertubuhan bukan kerajaan turut terlibat dalam program berkenaan.

Tujuan program MYTV adalah untuk memberi peluang kepada golongan belia di sekitar Kapit untuk bersaing dalam pasaran industri dan membuka peluang pekerjaan di sektor-sektor ekonomi yang memerlukan kebolehan dan kemahiran tertentu.

Program di Kapit itu telah berjaya melatih 190 orang peserta dalam bidang latihan seperti pertukangan kayu, pertukangan penerap bata, pendawaian elektrik, pertukangan sistem perpaipan, masakan, kecantikan, gunting rambut dan teknologi pertanian.

Melalui program sama, golongan belia di Kapit diharapkan dapat meningkatkan tahap ekonomi mereka pada masa hadapan.

Malah, sejak program berkenaan diperkenalkan, seramai 1,181 belia di negeri Sarawak telah dilatih dalam pelbagai kemahiran.

Hasil daripada pendedahan yang diberikan kepada mereka, program ini mampu membawa mereka untuk meneruskan latihan yang lebih tinggi ke akademi dan kolej teknikal di Sarawak.

Sebagai rekod, seramai 20 orang daripada suku kaum Penan telah berpeluang untuk mengikuti latihan teknikal di Kolej Centex, Santubong dan 23 peserta dari Dalat dan Baram meneruskan latihan di Akademi Binaan Malaysia.

Manakala, 22 orang belia dari Murum dan Nyalau turut menyambung latihan di Kolej Centex dan Jabatan Wanita Sarawak.

ADUN Pelagus, Wilson Nyabong Ijan bersama Panglima Medan Timur Tentera Darat Leftenan Jeneral Dato’ Wira Mohd Zaki Mokhtar merakamkan gambar bersama para peserta di SMK Kapit 2.

Program ini juga turut memberi peluang peserta terlibat sama dalam projek membaik pulih prasarana masyarakat setempat.

Sehingga kini, sebanyak sembilan projek baik pulih dan menaik taraf prasarana telah dijalankan, iaitu, projek membaik pulih tadika di Murum, projek membaik pulih Balai Raya di Kampung Kuala Nyalau, Bintulu, projek membaik pulih Balai Raya di Kampung Tanam, Dalat, projek membaik pulih Pasar Tamu di Baram, projek membaik pulih Bangunan Serbaguna Belia di Belawai, projek membaik pulih Balai Raya Anjung Bestari di Kampung Luagan, Sundar, projek membaikpulih Balai Raya di Kampung Stoh, Sempadi serta projek membaikpulih Bilik Gerakan Desa Wawasan, Kampung Spaoh, Betong dan projek membina dapur di Dewan Makan SMK Kapit 2.

Agensi-agensi yang memainkan peranan penting dalam menjayakan program ini adalah dari ATM, Pejabat Daerah Bukit Mabong, Petronas, Akedemi Binaan Malaysia, CIDB Malaysia, Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak, Jabatan Pertanian Sarawak, Kolej Komuniti Sarikei, Unit Strategi Kebangsaan (NSU) dan Majlis Pembangunan Sosial, dan Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak.

Petronas turut memberikan sumbangan bahan-bahan binaan untuk membaik pulih dapur dewan makan SMK Kapit 2 dengan kerja-kerja pembinaan dilaksanakan oleh peserta kursus pembinaan. — DayakDaily