MyIPO tawar bantuan pendaftaran paten inovasi kepada pemenang pingat emas iCAN 2021

Dato Sri Alexander Nanta Linggi

KUCHING, 26 Sept: Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) akan mempatenkan hasil inovasi Maryam Muzamir, pemenang tiga pingat emas di pertandingan The 6th International Invention, Innovation Competition (iCAN) 2021.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, pihak MyIPO akan membantu untuk proses pemfailan paten bagi inovasi yang dihasilkan Maryam bagi memastikan inovasi beliau dilindungi.

“Usaha mempatenkan hasil inovasi seperti ini bukan sahaja memberikan pengiktirafan hak milik kreativiti kepada pencipta, malah melindungi ciptaan atau inovasi seseorang daripada diciplak.


“Ini juga memberi peluang kepada pencipta untuk meneroka potensi yang lebih luas seperti mengkomersialkan hasil ciptaan ke peringkat lebih tinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada iCAN 2021 yang diadakan di Toronto, Kanada baru-baru ini, Maryam yang berusia 11 tahun menghasilkan inovasi makanan haiwan daripada kulit udang dan siput sedut yang dinamakan YAM 2.0.

Inovasi itu berjaya mengenepikan 600 peserta lain dari 70 negara sekaligus menjadikan Maryam sebagai pemenang termuda di pertandingan itu.

Dalam pada itu kata Nanta, pihak MyIPO telah berhubung dengan bapa pelajar terbabit minggu lepas untuk mengetahui lebih lanjut mengenai inovasi yang dihasilkan anaknya.

“KPDNHEP juga menyeru pencipta-pencipta yang telah menghasilkan ciptaan dan inovasi dalam pelbagai bidang untuk mempatenkan hasil karya mereka.

“Samada yang pernah memenangi sebarang pertandingan atau sebaliknya, bagi membolehkan mereka memegang hak cipta secara eksklusif,” ujar Nanta. — DayakDaily