Muzium Budaya Borneo menang Anugerah Emas Pelancongan Malaysia 2022

Borneo Cultures Museum

KUCHING, 30 Nov: Muzium Budaya Borneo (BCM) telah memenangi Anugerah Emas Pelancongan Malaysia bagi tahun 2022 pada 22 Oktober lepas.

Menurut Menteri Pelancongan, Industri Kreatif Dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Muzium Budaya Borneo kini dilihat sebagai penanda aras kepada muzium-muzium lain di Malaysia.

Katanya, pada 29 Mac lalu Muzium telah menerima kunjungan Raja Permaisuri Agong Tuanku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.


“Maklumbalas daripada pengunjung ke BCM adalah sangat positif serta menggalakan.

“Rakyat Sarawak berbangga kerana memiliki sebuah muzium bertaraf dunia yang mempamerkan budaya dan sejarah masyarakatnya,” kata Abdul Karim dalam ucapan Penggulungan Kementerian di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Tambah beliau, sejak dibuka kepada orang ramai mulai 9 Mac hingga 26 November lepas, BCM telah merekodkan sebanyak 490,557 pengunjung.

Manakala jumlah pengunjung paling ramai dalam satu hari iaitu sebanyak 7,671 telah direkodkan pada 4 Jun lepas.

“Pengunjung termasuk duta negara luar, konsulat, pegawai dari agensi kerajaan pusat dan negeri, institusi pendidikan, syarikat swasta dan pertubuhan bukan kerajaan,” kata Abdul Karim. — DayakDaily