Mussen gesa penduduk Lubok Antu pilih calon GPS

Abang Johari (empat dari kiri) memukul gong untuk merasmikan Program Sarawakku Sayang di Engkilili. Turut kelihatan Mussen (tiga dari kanan).

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 6 Nov: Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Datuk Malcolm Mussen Lamoh menggesa penduduk P203 Lubok Antu menyokong calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) di kerusi Parlimen tersebut pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

Menurut Mussen yang juga Adun Batang Ai, adalah penting memastikan calon GPS menang agar boleh bersama-sama pemimpin kerajaan yang lain di dalam merancang pembangunan Negeri ini.


“Pilihlah calon GPS yang boleh bekerjasama dengan pemimpin Negeri supaya semua perancangan dilaksanakan dengan berjaya.

“Kita bersama-sama merancang pembangunan sehingga Sarawak mencapai Negeri maju berpendapatan tinggi pada 2030,” kata Mussen dalam ucapan aluannya di Program Sarawakku Sayang di Engkilili hari ini.

Program telah dirasmikan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Tambah Mussen, penduduk Lubok Antu mestilah berada di dalam kerajaan Negeri sekarang yang disifatkannya sebagai sebuah perahu besar yang kuat.

Katanya, perahu besar ini bergerak ke haluan yang betul dan pasti akan sampai ke destinasinya.

Menurut Mussen, ini berbeza dengan perahu kecil dari kawasan lain yang tiada arah dan tidak sampai ke destinasinya.

“Sebagai contoh, hanya ada dua calon Perikatan Nasional (PN) iaitu sebuah parti dari Semenanjung Malaysia berada di Sarawak; mereka ini selalu melompat parti.

“Tiada integriti dan kredibiliti sebagai pemimpin,” ujar Mussen.

Tambah beliau, dengan bilangan yang kecil pemimpin PN ini tidak boleh membawa suara Sarawak

Ia berbeza dengan GPS yang boleh menang 20 hingga 30 kerusi Parlimen, seterusnya membawa suara Sarawak ke peringkat pusat.

Pada PRU15 ini, GPS meletakkan Roy Gingkoi di P203 Lubok Antu dan di tentang Jugah Muyang dari PN sebagai penyandang.

Turut sama dalam pertandingan empat penjuru itu ialah Johnichal Rayong Ngipa dari Parti Sarawak Bersatu (PSB) dan Langga Lias dari Parti Keadilan Rakyat (PKR). — DayakDaily