MARUDI, Mei 4: Seorang murid Tahun Enam dari Sekolah Kebangsaan (SK) Poyut di sini berdepan detik mencemaskan apabila jarinya tersekat pada tombol pintu dalam satu kejadian di sekolah berkenaan hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi itu, murid lelaki tersebut dikatakan bermain dengan tombol pintu sebelum jarinya tersekat.
Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Miri, Law Poh Kiong berkata, selepas pelbagai usaha untuk mengeluarkan jari mangsa gagal, guru sekolah tersebut kemudian membawa murid berkenaan ke Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Marudi untuk tindakan lanjut.
Katanya, mangsa yang diiringi guru sekolah berkenaan tiba di BBP Marudi pada pukul 9.20 pagi.
“Anggota bomba kemudian melakukan operasi memotong kepingan tombol pintu daripada jari mangsa dengan menggunakan peralatan khas.
“Operasi memotong tombol pintu itu mengambil masa kira-kira empat minit,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Law menambah, tiada sebarang kecederaan dialami murid berkenaan selepas operasi itu tamat. — DayakDaily