Muhyiddin tidak letak jawatan, yakin masih mempunyai kepercayaan majoriti

Tan Sri Muhyiddin Yassin (file photo)

KUCHING, 4 Ogos: Tan Sri Muhyiddin Yassin kekal sebagai Perdana Menteri (PM) selain mendakwa masih mempunyai kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat pada masa ini.

Beliau telah menghadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, pada jam 11 pagi hari ini dan memaklumkan perkara tersebut.

“Dalam majlis menghadap pagi ini, saya telah menyembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong bahawa saya telah menerima sejumlah surat akuan daripada Ahli-Ahli Dewan Rakyat yang meyakinkan saya bahawa saya masih mempunyai kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat pada masa ini.


“Sehubungan itu, peletakan jawatan saya di bawah Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan adalah tidak berbangkit,” katanya dalam satu perutusan khas hari ini.

Namun katanya, beliau juga sedar bahawa kedudukannya sebagai Perdana Menteri seringkali dipersoalkan.

Oleh itu, Muhyiddin telah menyembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong bahawa beliau akan menentukan keabsahan sebagai Perdana Menteri di Parlimen.

“Suatu usul undi percaya kepada saya akan dibentangkan di Dewan Rakyat ketika Dewan Rakyat bersidang pada bulan September.

“Melalui cara ini, kedudukan saya sebagai Perdana Menteri dan Perikatan Nasional sebagai kerajaan yang memerintah akan dapat ditentukan mengikut lunas undang-undang dan Perlembagaan.

“Alhamdulillah, Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan cadangan saya ini,” ujar beliau.

Pada semalam, Muhyiddin telah menerima warkah daripada Yang di-Pertuan Agong yang memaklumkan terdapat lapan orang Ahli Parlimen Umno (Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu) telah menulis surat kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat bahawa mereka telah menarik sokongan kepada beliau.

Sehubungan itu, beliau telah dititah menghadap oleh Yang di-Pertuan Agong pada jam 11 pagi hari ini.

Menurut Muhyiddin lagi, mereka kurang senang dengan ketegasan beliau untuk tidak melayan beberapa tuntutan mereka.

“Ini termasuk desakan supaya saya mencampuri urusan mahkamah untuk membebaskan beberapa individu yang sedang didakwa atas kesalahan jenayah.

“Saya juga telah dituduh menderhaka kepada Raja sedangkan apa yang saya lakukan adalah semata-mata untuk memelihara keluhuran Perlembagaan dan mempertahankan kemuliaan institusi Raja Berperlembagaan.

“Saya tidak akan mengorbankan prinsip saya dan membelakangi sumpah jawatan saya untuk menunaikan segala kewajipan dengan jujur, menumpahkan taat setia kepada Raja dan Negara serta memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan,” tegas Muhyiddin. — DayakDaily