Muhyiddin: Program Subsidi Upah 3.0 ditambah baik

Tan Sri Muhyiddin Yassin
Advertisement

KUCHING, 18 Jan: Kerajaan menerusi pakej bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) mengumumkan Program Subsidi Upah 3.0 di bawah Perkeso akan ditambah baik.

Menurut Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, inisiatif tersebut telah disambut baik oleh pekerja dan majikan sejak ia diperkenalkan.

“Sukacita Kerajaan mengumumkan Program Subsidi Upah 3.0 di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) akan ditambah baik.

Advertisement

“Semua majikan yang beroperasi dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) layak untuk memohon, tanpa mengambil kira sektor,” katanya pada pengumuman Permai hari ini.

Untuk tempoh satu bulan jelas Muhyiddin, majikan yang layak akan menerima subsidi upah berjumlah RM600 bagi setiap pekerja mereka yang bergaji kurang dari RM4,000.

Selain itu katanya, had 200 pekerja bagi setiap permohonan akan ditingkatkan kepada 500 pekerja.

“Inisiatif ini melibatkan peruntukan tambahan sebanyak RM1 bilion yang dianggar akan memanfaatkan 250 ribu majikan yang menggaji lebih daripada 2.6 juta pekerja,” ujar beliau.

Tambah Muhyiddin lagi, mereka yang kehilangan pekerjaan dalam tempoh pelaksanaan PKP akan diberi pelonggaran syarat permohonan bagi program Sistem Insurans Pekerjaan atau SIP Prihatin.

Katanya, ini melibatkan pekerja yang tidak memenuhi caruman minimum ataupun tidak dilanjutkan kontrak perkhidmatan setelah pembaharuan dibuat sekurang-kurangnya tiga kali.

“Sekarang mereka dibenarkan untuk memohon bantuan kewangan SIP Prihatin sebanyak 30 peratus daripada gaji mereka selama tiga bulan,” ujar Muhyiddin. — DayakDaily

Advertisement