Muhyiddin: PKP dilanjutkan? Keputusan Mac 31 ini

Police manning a roadblock to restrict the movement of vehicles in this file photo.
Advertisement

Oleh Chris Bishop

KUCHING, Mac 23: Keputusan sama ada untuk melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dibuat pada Mac 31 ini, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurut beliau, Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan bermesyuarat pada hari tersebut dan keputusan dibuat berdasarkan tahap penularan terkini wabak Covid-19 minggu depan.

Advertisement

“Jika ada penambahbaikan dengan tindakan yang diambil Kementerian Kesihatan dibantu agensi lain dan kerjasama semua pihak, terutama kumpulan tabligh yang masih berbaki belum keluar lagi itu, kemungkinan besar perintah ini menunjukkan kesan yang positif jika angka dan data yang akan datang lebih rendah.

“Tetapi sebelum tempoh tamat pada Mac 31 ini, MKN akan bersidang sama ada langkah yang diambil memadai atau perlu dilanjutkan lagi selama seminggu atau dua minggu lagi.

“Ini akan kita kaji, sebelum sebarang tindakan diambil,” katanya pada satu sidang media khas setelah mempengerusikan Mesyuarat majlis Tindakan Ekonomi di Putrajaya hari ini.

Berhubung PKP yang bermula Mac 18 lepas, Muhyiddin berkata hasil laporan pihak polis dan tentera di lapangan mendapati pematuhan hampir 90 peratus.

Beliau berharap ia dapat mencapai 100 peratus dan mereka yang ingkar segera mematuhi perintah tersebut.

Dari sudut pelaksanaan, katanya, ia boleh dikatakan berkesan dan berharap pergerakan dikurangkan kepada paras minimum yang dibenarkan.

“Kita hanya keluar untuk membeli barang-barang keperluan di pasaraya dan ubat dari farmasi yang ada di kawasan masing-masing.

“Setelah itu, segera balik ke kediaman masing-masing,” ujar Muhyiddin. — DayakDaily

Advertisement