Muhyiddin: Pembukaan semula sekolah akan diumum 2 minggu sebelum tarikh pelaksanaan

Muhyiddin delivering his special address on National Youth Day today (May 15, 2020).

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 16 MEI: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata tarikh pembukaan semula sekolah akan diumumkan dua minggu sebelum pelaksanaannya.

Katanya, ini bergantung kepada nasihat dari Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Apabila sekolah dibuka nanti, untuk permulaan kita berikan keutamaan kepada murid yang akan menduduki peperiksaan SPM, SVM, STPM dan STAM untuk ke sekolah dahulu.

“Ini untuk memastikan prosedur operasi standard(SOP) mengenai penjarakkan sosial dan penjagaan kebersihan diri yang ditetapkan oleh kementerian pendidikan dapat dipatuhi.

“SOP ini meliputi prosedur mengenai ketibaan murid di sekolah, pergerakan ke bilik darjah, susunan meja dalam bilik darjah, pergerakan di kantin dan pelbagai aspek lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ucapan sambutan Hari Guru 2020 yang disiarkan RTM hari ini.

Tema sambutan Hari Guru 2020 ialah “Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu”.

Selain itu tambah Muhyiddin, proses pendigitalan dengan menggunakan platfom dalam talian atau pembelajaran maya akan terus diperkasa.

Beliau percaya pembelajaran maya adalah masa depan dalam bidang pendidikan.

“Jadi saya menyeru guru -guru supaya mendalami kemahiran pengajaran secara atas talian dan kaedah pembelajaran dari rumah yang merupakan kebiasaan baharu dalam bidang perguruan,” ujar beliau.

Pada sambutan tahun ini, Nor Hainei Abu Bakar iaitu mantan Guru Besar SK Jalan Tiga, Bandar Baru Bangi, Selangor telah dipilih sebagai penerima Tokoh Guru Kebangsaan 2020.

Manakala Aminuddin Adam iaitu mantan Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia(sektor Operasi) dipilih sebagai Tokoh Kepimpinan Guru Kebangsaan 2020.—DayakDaily