Muhyiddin: Kelab malam, karaoke, pusat refleksologi kekal tutup

Tan Sri Muhyiddin Yassin (File photo)

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 7 Jun: Kelab malam, karaoke dan  pusat refleksologi kekal tutup di sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) mulai 10 Jun hingga 31 Ogos ini.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata larangan dikekalkan oleh kerajaan untuk mengawal penularan Covid-19.

“Beberapa aktiviti atau sektor masih dilarang sepanjang tempoh PKPP.

“Ini termasuk pub, kelab malam, pusat hiburan, pusat refleksologi dan pusat karaoke,” katanya pada Perutusan Khas Pelaksanaan PKPP di Putrajaya hari ini.

Menurut Muhyiddin lagi, taman tema, perarakan keagamaan dalam jumlah yang ramai, kenduri-kendara dan rumah terbuka juga kekal dalam senarai negatif PKPP.

Katanya, larangan dikuatkuasakan terhadap apa-apa aktiviti lain yang melibatkan kehadiran orang ramai yang bersesak di suatu tempat sehingga menyukarkan amalan penjarakan sosial dan pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP).

Beliau menasihati orang ramai untuk melayari laman web Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai senarai aktiviti atau sektor yang dibenarkan dan tidak dibenarkan di dalam PKPP. -DayakDaily.