Muhyiddin: Bersatu belum buat keputusan samada bertanding PRN Sarawak

Tan Sri Muhyiddin Yassin (file photo)

Chris Bishop

KUCHING, JULAI 29: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) belum membuat keputusan samada ia akan bertanding pada Pilihraya Negeri (PRN) Sarawak Ke 12 yang akan datang.

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata perkara tersebut harus dibincangkan terlebih dahulu dengan komponen parti dalam Pakatan Harapan(PH) Sarawak.


“Belum ada perundingan berhubung pembahagian kerusi kerana kami parti baharu dalam PH Sarawak.

“Saya telah maklumkan kepada YB Chong (Chieng Jen) sebagai pengerusi PH Sarawak dan perkara ini akan dibawa ke peringkat pusat.

“Bersatu harus berbincang dengan komponen parti yang lain berhubung mana-mana kerusi yang sesuai bagi kita membantu mengukuhkan lagi PH di Sarawak, baik di peringkat parlimen atau dewan undangan negeri,” katanya.

Mengulas isu yang sama, Muhyiddin berkata Bersatu telah menubuhkan 6 bahagian di enam kawasan parlimen di Sarawak dan bercadang menubuhkan enam bahagian lagi.

Beliau berkata demikian bila menjawab soalan pemberita pada sidang media yang diadakan di Ibupejabat Polis Kontinjen Sarawak, Jalan Badruddin, hari ini. 

Terdahulu beliau menghadiri sesi taklimat berhubung permasalahan di komplek perumahan IPK Sarawak.

Berhubung permasalahan di komplek perumahan IPK, beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata kerajaan sedang berusaha untuk memperbaikinya dan peruntukan sejumlah RM7 juta diperlukan.

“Saya telah diberi taklimat tentang keadaan bangunan kediaman ini yang dibina sejak 1998, jadi agak lama dan sebahagiannya sudah rosak.  Lif banyak yang sudah rosak dan pelbagai masalah lain,” ujar beliau. 

Menurut beliau, peruntukan sejumlah RM3.6 juta untuk sebahagian kerja baik pulih sudah dikeluarkan dan baki akan diusahakan dari peruntukan tahun ini ataupun tahun hadapan.

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Negara Dato Pahlawan Mazlan Mansor dan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Dato Seri Alwi Ibrahim. — DayakDaily