Mufti Sarawak terima Anugerah Perdana Maulidur Rasul 2024

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim mengurniakan anugerah berkenaan kepada Kipli. Foto: TVS
Advertisement

KUCHING, 16 Sept: Mufti Sarawak Datu Kipli Yassin hari ini dinobatkan sebagai penerima Anugerah Perdana Maulidur Rasul 2024.

Menurut laporan TVS, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan anugerah berkenaan kepada Kipli pada Sambutan Maulidur Rasul 1446H/2024 peringkat kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di Kuala Lumpur.

Pemilihan anak jati Kampung Selalang, Sarikei sebagai penerima anugerah berkenaan adalah berdasarkan sumbangan beliau dalam menyampaikan dakwah silang budaya kepada masyarakat pelbagai etnik.

Advertisement

Pengiktirafan diberikan kepada Kipli yang mula berkhidmat sebagai Mufti Sarawak pada 1 Mac 2010 kerana telah memartabatkan nilai marhabah dan perpaduan dalam kalangan masyarakat MADANI.

Mengulas mengenai anugerah itu, Kipli berkata beliau memikul tugas berat dalam menyampaikan dakwah di Bumi Kenyalang yang masyarakatnya begitu majmuk dan perlu memelihara sensitiviti.

“Kita ambil sifat Rasulullah SAW dalam menyampaikan fatwa dan dakwah itu sendiri supaya masyarakat faham sekali gus dapat menerima keputusan-keputusan fatwa sebagai suatu yang perlu dipatuhi umat Islam.

“Keputusan seperti ini supaya orang bukan Islam juga memahami apa kita putuskan untuk orang Islam dan akhirnya mereka dapat menerima bahawa inilah kehidupan beragama yang ada sempadan masing-masing,” katanya.

Kipli berkata menyampaikan syariah Islam merupakan asas penting bagi mengelakkan umat Islam di Malaysia daripada terjebak dalam perkara yang boleh merosakkan akidah.

“Mudah-mudahan dengan sambutan Maulidur Rasul inilah kita dapat mengambil, menggali dan meneroka sirah Nabi Muhammad SAW yang sangat hebat dalam erti kata menampilkan keindahan Islam itu sendiri,” katanya. — DayakDaily

Advertisement