KUCHING, April 25: Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) bercadang menjadikan penciptaan lengan robotik bagi meningkatkan pengeluaran kek lapis di Sarawak sebagai salah satu projek dalam pertandingan mencipta alatan Revolusi Industri 4.0 anjurannya tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif MTDC, Datuk Norhalim Yunus berkata demikian dengan pihaknya menjangkakan penganjuran pertandingan terbabit akan diadakan ketika MTDC menganjurkan satu persidangan di Kuala Lumpur awal Oktober depan.
“Salah satu projek mungkin dicadangkan kami pada pertandingan terbabit ialah membangunkan lengan robotik bagi proses pembuatan kek lapis Sarawak. Selain itu adalah projek membangunkan dron bawah permukaan air,” katanya selepas merasmikan program MTDC Road2Growth 2019, di sini, hari ini.
Norhalim berkata ini kerana lawatan beliau dan pakar teknologi ke premis pengusaha kek lapis di Sarawak sebelum ini mendapati mereka agak ketinggalan dari segi kemampuan pengeluaran berbanding pengusaha kek itu di Indonesia yang menjadi pesaing.
“Pengusaha di Sarawak didapati puratanya menghasilkan dua kek lapis mengunakan satu ketuhar khusus yang dibeli dari Indonesia berbanding pengusaha di Indonesia yang puratanya mampu menghasilkan empat kek lapis mengunakan ketuhar yang sama,” katanya.
Selain itu, ketika musim perayaan terutama Hari Raya, permintaan terhadap kek lapis di Sarawak meningkat berlipat kali ganda sehingga tidak mampu dipenuhi pengusahanya disebabkan kekurangan tenaga manusia yang mahir menghasilkan kek terbabit.
Beliau berkata dengan penciptaan alatan lengan robotik terbabit, proses pembuatan kek lapis Sarawak boleh dimudahkan dan percepatkan kerana pekerja dan pengusahanya akan mampu memenuhi permintaan tinggi kek terbabit setiap kali musim perayaan serta bersaing dengan pengusaha kek itu di Indonesia.
Katanya lengan robotik tersebut bukan bagi mengantikan kesemua proses membuat kek itu yang dilakukan manusia ketika ini tetapi juga boleh mengantikan sebahagian proses terbabit yang sukar bagi manusia sahaja seperti proses yang panas atau memerlukan pekerja berdiri lama.
“Kami akan menyediakan hadiah kepada peserta pertandingan ini; selalunya hadiah tersebut berbentuk sejumlah wang bagi pencipta yang memenanginya bagi mengkomersilkan ciptaanya itu,” katanya.
Selain itu, Norhalim juga mendedahkan MTDC merancang membuka Centre Of Nine Pillars (Co9P) di Kuching dan berharap pusat itu akan dilancarkan dalam tiga atau empat bulan lagi bagi membangunkan komuniti IR4.0 yang terdiri dari kalangan usahawan di Sarawak.
Katanya ketika ini pusat itu diwujudkan di Lembah Kelang dan Johor dan MTDC selepas ini akan membuka pusat sama di Pulau Pinang, Terengganu, Sarawak dan Sabah. — DayakDaily