Ms Universe Malaysia Francisca Luhong serikan Sambutan Gawai Negeri 2022

Gerawat (duduk tengah) bersama ahli jawatankuasa kerja sambutan Gawai Dayak 2022.

Chris Bishop

KUCHING, 13 JUN: Sambutan Perayaan Gawai Peringkat Negeri Sarawak 2022 kembali setelah dua tahun tidak dianjurkan ekoran pandemik Covid-19.

Majlis Makan Malam bagi meraikan sambutan akan diadakan pada 25 Jun ini di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) dan bakal dihadiri Yang di-Pertuan Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud serta isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib.


Hadir sama Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta isteri, Datuk Amar Juma’ani Tuanku Bujang.

Ketua Jawatankuasa Kerja Sambutan Gawai Dayak 2022 Datuk Gerawat Gala berkata, persembahan kebudayaan dan hiburan oleh beberapa artis dan personaliti terkenal akan menyerikan majlis makan malam itu nanti.

“Peserta pertandingan Miss Universe dan Miss Malaysia akan tampil dalam ‘Gawai 2022 Beauty Parade’ pada malam itu nanti.

“Antaranya ialah Miss Universe 2020 Francisca Luhong James dan Juliana Sambai Simbat.

“Sambutan juga akan menampilkan persembahan daripada lagenda sape Mathew Ngau,” katanya pada sidang media di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Bersempena dengan sambutan tambah Gerawat, Festival Gawai Bazar akan turut dianjurkan mulai 17 hingga 26 Jun ini bertempat di perkarangan Dewan Masyarakat Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS).

Katanya, Festival Gawai Bazar itu nanti dimeriahkan dengan penganjuran pelbagai aktiviti seperti persembahan malam budaya, persembahan artis Dayak popular dan malam kesenian.

“Pertandingan kumang dan keling bagi peringkat umur 9 hingga 15 tahun akan turut diadakan,” katanya yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak. — DayakDaily