MPP tetapkan 9 lokasi untuk Bazar Ramadan Berpusat

Ahmad (sebelas dari kiri) menyaksikan Wan Hashim (sepuluh dari kiri) menerima penajaan penutup kepala dan apron bagi kegunaan sebahagian peniaga gerai Bazar Ramadan Berpusat MPP 2019 dari Pengurus Besar Central Coldstorage Kuching Sdn Bhd, Chai Min Diang (sepuluh dari kanan) pada sidang media di ibupejabat MPP, Kota Padawan.

Follow and subscribe to DayakDaily on Telegram for faster news updates.


KUCHING, April 22: Bazar Ramadan Berpusat Majlis Perbandaran Padawan (MPP) 2019 bakal diadakan di sebanyak sembilan lokasi dalam kawasan pentadbiran MPP di bandar raya ini mulai hari pertama berpuasa yang dijangka jatuh pada Mei 5 atau 6 depan.

Timbalan Pengerusi MPP, Cr Dato Ahmad Ibrahim berkata bazar Ramadan tersebut akan berlangsung selama sebulan dan sembilan lokasinya akan keseluruhannya ada sekitar 450 sehingga 500 gerai menjual makanan dan minuman yang tempahannya bergantung kepada penganjur setiap lokasinya.

“Sebanyak dua lokasi Bazar Ramadan MPP 2019 akan dianjurkan pihak swasta manakala sebanyak tujuh lokasi lain akan dianjurkan pertubuhan komuniti setempat,” katanya pada sidang media bersama Pengerusi Pengelola Bazar Ramadan Berpusat MPP 2019, Cr Wan Hashim Wan Sulaiman di Ibupejabat MPP di Kota Padawan, di sini, hari ini.


Ahmad berkata dua lokasi yang akan dianjurkan pihak swasta ialah di kawasan parkir Emart Matang yang akan dianjurkan Emart Reality (Kuching) Sdn Bhd dengan sekitar 56 gerai dan di kawasan parkir Emart Batu Kawa yang akan dianjurkan Emart Property (Batu Kawa) Sdn Bhd dengan sekitar 60 gerai.

“Tujuh lokasi lain akan dianjurkan pertubuhan komuniti setempat ialah di Kota Sentosa Town Square (depan Hong Leong Bank) dianjurkan Persatuan Peniaga dan Penjaja Sarawak dengan sekitar 80 gerai dan tempat letak kereta di kedai Taman Malihah (sebelah H&L Supermarket) anjuran Jawatankuasa Masjid Darul Hikmat, Kampung Sejijak,” katanya.

Tambah beliau, ini diikuti lokasi di kedai Matang Jaya (hadapan KFC/Courts Mamoth) anjuran Rukun Tetangga Taman Matang Jaya Zon A, Temporary Car Park (Plot 12) Batu Kawah New Township anjuran Azfa Suceess Enterprise dan Batu Kawah New Township Owners’ Association dan tempat letak kereta depan Market Batu 10 anjuran Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (Saberkas) Cawangan Batu Kitang dan Unit Saberkas Kampung Paya Mebi.

“Lokasi lain ialah tempat letak kereta kedai Jalan Sejijak-Matang (depan Yong Feng Mart Sdn Bhd) anjuran Persatuan Muafakap Kampong Sejijak Matang dan tempat letak kereta Matang Jaya (depan kedai CCK) anjuran Presiden Kelab Silat Olahraga Gerak Kuntau Melayu Asli,” katanya.

Dijangkakan Pengerusi MPP dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Lo Khere Chiang akan merasmikan Bazar Ramadan Berpusat MPP 2019 di Kota Sentosa Town Square pada hari pertama berpuasa.

Bazar Ramadan di Temporary Car Park (Plot 12) Batu Kawah New Township dijangka dirasmikan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr Sim Kui Hian pada hari kedua berpuasa dan di kawasan parkir Emart Matang dijangka dirasmikan beliau dan ADUN Tupong Fazzrudin Abdul Rahman pada hari ketiga berpuasa. — DayakDaily