MPP seru orang ramai terus ambil inisiatif cegah rabies

A file photo of a mass rabies vaccination programme at Kuching.

KUCHING, 29 SEPTEMBER: Majlis Perbandaran Padawan (MPP) menyeru masyarakat agar terus mengambil inisiatif dalam mencegah wabak rabies.

Menerusi satu kenyataan hari ini, MPP berkata ia dapat dielakkan dengan memberi vaksin anti-rabies dan melesenkan anjing peliharaan mereka agar dapat mengurangkan rabies merebak.

Justeru, MPP menyeru orang ramai agar tidak melepaskan peluang datang ke Dewan Masyarakat MBKS pada 17 Oktober ini untuk menvaksinkan dan melesenkan anjing mereka.


“Pemilik anjing yang telah memvaksinkan anjing disaran agar tidak melepaskan anjing peliharaan sesuka hati kerana ia boleh mengancam keselamatan orang yang lalu lalang.

“Disamping berisiko untuk terkena jangkitan Rabies sekiranya anjing peliharaan berkenaan bergaul dengan anjing liar yang lain yang tidak diketahui status jangkitan mereka.

“Anjing yang telah divaksin hendaklah dikurung di dalam kawasan rumah,”kata MPP.

Dalam pada itu, MPP pada sambutan Hari Rabies Sedunia peringkat Negeri Sarawak di Dewan Masyarakat MBKS pada Sabtu lepas telah membuka kaunter perlesenan untuk anjing peliharaan.

Kaunter MPP telah menerima dan mengeluarkan sebanyak 27 permohonan anjing peliharaan sepanjang tempoh tersebut.

Menurut MPP kadar bayaran anjing peliharaan adalah sebanyak RM10 bagi anjing yang telah dimandulkan manakala kadar RM30 dikenakan untuk anjing yang belum dimandulkan. — DayakDaily.