KUCHING, 17 Mei: Majlis Perbandaran Padawan (MPP) akan menaik taraf kemudahan di Pasar Batu 10 dengan kos RM44,520.
Pengerusi MPP Lo Khere Chiang berkata, kerja-kerja naiktaraf akan dilaksanakan dalam tempoh dua bulan dan dijangka siap pada Julai ini.
“Ia melibatkan kerja-kerja di bahagian tandas seperti pintu, pemasangan jubin, lampu dan tempat membasuh tangan.
“MPP juga akan menukar semua 13 kipas sedia ada kepada kipas baharu,” katanya pada satu sidang media selesai melawat Pasar Batu 10 di sini hari ini.
Dalam pada itu, Lo juga menasihati orang ramai yang ingin memberi bantuan menyediakan kemudahan awam di kawasan MPP untuk terlebih dahulu memaklumkan pihaknya.
Katanya, MPP mengalu-alukan seberapa banyak bantuan yang mahu diberikan di Padawan tetapi kebenaran perlu diperolehi dari pihak majlis terlebih dahulu.
“Kebenaran perlu dipohon melalui MPP; kita melakukan sesuatu mengikut peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan.
“Kita mempunyai kerajaan yang sentiasa memastikan segala sesuatu berjalan lancar di Sarawak mengikut peraturan.
“Bukan seperti beberapa pihak yang melakukan apa sahaja yang mereka inginkan tanpa mempertimbangkan faktor yang lain,” ujar beliau. — DayakDaily