JBALB: Paip bocor punca gangguan bekalan air di Betong

Kebocoran paip akibat kerja-kerja pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo.

KUCHING, 17 Mei: Gangguan bekalan air yang berlaku di beberapa kawasan di Bahagian Betong bermula pada semalam adalah berpunca daripada kebocoran paip.

Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) dalam satu kenyataan hari ini berkata, ia adalah akibat kerja-kerja pembinaan Lebuhraya Pan Borneo di kawasan Simpang Pusa.

“Kawasan-kawasan yang terjejas adalah di seluruh kawasan rumah panjang dan persendirian dari Simpang Bajau sehingga Simpang Pusa dan Debak,” katanya.


Menurut JBALB, pihak kontraktor Pan Borneo akan melakukan kerja-kerja penyambungan semula paip tersebut dengan kadar segera pada hari ini.

Ia bagi mengurangkan impak besar gangguan bekalan air kepada para pengguna di kawasan-kawasan yang terjejas.

“Penghantaran bekalan air turut dilakukan oleh pihak JBALB Bahagian Betong dan pihak kontraktor sehingga keadaan kembali pulih seperti biasa.

“Pihak kami berasa kesal di atas segala kesulitan yang timbul dan amat menghargai kesabaran yang tinggi daripada para pengguna,” kata JBALB.

Segala perkembangan terkini akan sentiasa dimaklumkan kepada pengguna melalui platform sosial media JBALB Sarawak.

Para pengguna juga boleh menghubungi JBALB Call Centre di talian 082-262211 untuk mendapatkan maklumat dan informasi terkini. — DayakDaily