MPP gesa kontraktor laksanakan projek dengan baik, siap ikut jadual

Kelihatan Lo ketika ditemui wartawan semasa lawatan ke projek Dewan Serba Guna Kampung Sinar Budi.

PADAWAN, 5 April: Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan MPP Lo Khere Chiang menggesa setiap kontraktor melaksanakan projek dengan baik dan siap mengikut jadual.

Menurut beliau, ia penting bagi memastikan mereka mendapat tawaran projek yang seterusnya.

“Buatlah kerja atau projek dengan sebaiknya, jika tidak, tak akan ada lagi projek seterusnya.


“Anda (kontraktor) ada lesen, oleh itu hargai dan lindungi lesen ada serta laksanakan kerja dengan baik.

“Pihak majlis akan gembira untuk memberi projek yang seterusnya,” kata beliau ketika ditemui pada lawatan ke tapak projek Dewan Serba Guna Kampung Sinar Baru di sini, hari ini.

Berhubung projek dewan tersebut, Lo yang juga Adun Batu Kitang berkata ia sepatutnya siap lapan bulan yang lalu.

Namun, katanya, disebabkan kelewatan daripada pihak kontraktor, projek yang berharga RM200,000 itu hanya akan siap dalam tempoh enam bulan ini.

Katanya, sehingga kini projek hanya mencapai 20 peratus siap.

“Ini merupakan projek transformasi luar bandar (RTP) menerusi Pejabat Residen dimana kontraktor dilantik melalui proses cabutan undi.

“Manakala bagi projek di bawah MPP, lantikan kontraktor adalah secara tender,” katanya. — DayakDaily