MPKKP gugat struktur Iban di rumah panjang — KMKK Batang Ai

Mussen (tujuh kiri) merakamkan kenangan bersama rombongan KMKK Batang Ai di komplek DUN. Turut kelihatan Klinsing (kanan).

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 9 Nov: Penubuhan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Persekutuan (MPKK) dibantah sekerasnya oleh ketua masyarakat dan ketua kaum (KMKK) di kawasan DUN Batang Ai.

Jurucakap KMKK Batang Ai, Tuairumah Klinsing Manau berpendapat ia merupakan usaha Pakatan Harapan untuk merampas Sarawak dari kerajaan yang ada sekarang.


“Apakah tujuan sebenarnya penubuhan MPKKP ini. Jangan sekali mewujudkan dua ketua (tuai rumah) di dalam sesebuah rumah panjang.

“Jika ini berlaku, akan wujud huru hara di rumah panjang dan ini semestinya akan berlaku,” katanya kepada DayakDaily pada lawatan ke Dewan Undangan Negeri (DUN) kelmarin.

Beliau yang juga pengerusi Parti Progresif Demokratik (PDP) cawangan Batang Ai menambah, penubuhan MPKKP bertujuan untuk memantapkan golongan yang sudah sekian lama menjadi pembangkang kerajaan Sarawak.

Katanya, sebelum ini pun memang sudah ada golongan yang sering menentang kerajaan.

“Penubuhan MPKKP adalah untuk mengesahkan yang mereka tidak bersama kerajaan negeri pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

“Di setiap rumah panjang memang wujud golongan ini dan MPKKP menjadi landasan buat mereka untuk terus menentang. MPKKP mengugat keharmonian struktur Iban di rumah panjang, bakal bawa perpecahan,” dakwa Klinsing.

Dalam pada itu, kunjungan ke DUN kelmarin disertai lebih 60 orang KMKK termasuk Pemanca Ja’au Jagit dan Pemanca Chua Kee Long.

Rombongan turut mengadakan pertemuan dengan Menteri Muda Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan Datuk Malcom Mussen. — DayakDaily