Menteri diseru bawa projek baharu, bukan rasmi semula projek lama

(dari kiri) Klinsing, Agas, Tungku dan Jampi di majlis makan malam bersempena lawatan ke Komplek DUN.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 9 Nov: Beberapa ketua masyarakat dan ketua kaum (KMKK) dari kawasan DUN Batang Ai mengecam tindakan pemimpin Pakatan Harapan yang merasmikan semula projek tenaga solar di Rh Simon, Ng Tutong Ulu, Ahad lepas (3 Nov).

Menurut Tuairumah Albert Klinsing dari Skarok, Lubok Antu, projek tersebut telah dirasmikan Menteri Muda Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Malcom Mussen pada tahun 2017 dan merupakan projek kerajaan negeri.

“Projek tenaga solar di Rh Simon sekarang telah dirasmikan sekali lagi pada Ahad Lepas. Projek ini termasuk projek yang sama di Tapang Pungga dan Sumpa telah dirasmikan Mussen pada tahun 2017.

“Projek ini sebenarnya bukan projek kerajaan pusat, dan mengapa Menteri Kerja Raya, Baru Bian, merasmikannya semula,” ujar Klinsing pada majlis makan malam di sini, kelmarin.

Terdahulu, rombongan yang disertai lebih 60 orang ketua masyarakat dan ketua kaum dari Batang Ai ini telah mengadakan lawatan ke Komplek DUN.

Sebagai seorang menteri penuh kerajaan pusat dan memegang portfolio menteri kerja raya, Baru sepatutnya membawa projek baharu kepada rakyat di Batang Ai, tambah beliau.

Katanya, daripada merasmikan semula projek tenaga solar tersebut, adalah lebih baik beliau mengumumkan projek untuk kebaikan rakyat seperti projek menaiktaraf jalan Ulu Engkari, Ulu Lemanak dan Ulu Delok.

“Ini tidak, pemimpin ini datang merasmikan projek yang telah pun siap sekian lama dan merupakan projek kerajaan negeri.

“Mereka kata ini projek kerajaan pusat dan sengaja mengelirukan rakyat,” dakwa Klinsing, yang juga Pengerusi Parti Progresif Demokratik (PDP) Batang Ai.

Kenyataan beliau turut disokong kaunselor Agas Thomas, yang juga timbalan pengerusi Parti Rakyat Sarawak (PRS) Batang Ai, Tuairumah Tungku Surik sebagai Pengerusi Persatuan Tuai Rumah Batang Lemanak dan kaunselor Jampi Tutong, yang juga timbalan pengerusi Parti Pesaka Bumiputera (PBB) Batang Ai.

Pada majlis perasmian Ahad lepas, Baru turut ditemani MP Lubok Antu Jugah Muyang dan ketua cabang Parti Keadlian Rakyat (PKR) Lubok Antu Nicholas Bawin Anggat.

Projek tenaga solar di Rh Simon, Ng Tutong, merupakan projek usahasama Sarawak Energy, Agensi Tenaga Korea dan Kementerian Utiliti Sarawak.

Projek bermula pada bulan Ogos 2017 dan siap pada penghujung Disember. — DayakDaily