MP Lubok Antu tidak setuju Batang Ai dan Engkilili sebagai pusat kuarantin Covid-19

Jugah Muyang
Advertisement

KUCHING, April 1: MP Lubok Antu, Jugah Muyang menggesa kerajaan negeri agar menarik balik keputusan menjadikan kawasan DUN Batang Ai dan Engkilili sebagai pusat kuarantin mereka yang disyaki dijangkiti Covid-19.

Katanya, pemilihan Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Batang Ai dan Rumah Rehat Pejabat Daerah Kecil Engkilili sebagai pusat kuarantin telah meresahkan seluruh rakyat Lubok Antu.

“Penempatan 20 orang ‘Person Under Investigation’ (PUI) dan ‘Person Under Surveillance’ (PUS) di Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Batang Ai telah mendatangkan keresahan masyarakat rumah panjang.

Advertisement

“Seharusnya tindakan menangani penularan wabak Covid-19 wajar dibincangkan bersama ketua-ketua masyarakat, ADUN dan MP supaya keputusan terbaik yang mengambil kira semua pihak diambil.

“Kita harus mendengar suara dari ketua masyarakat yang mewakili suara rakyat,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Tambah Jugah yang juga Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), adalah tidak wajar Lubok Antu yang bebas dari wabak Covid-19 dijadikan tempat kuarantin walhal penduduknya selamat dari wabak tersebut.

Menurut beliau, tindakan tersebut seolah-olah membawa masuk apa yang rakyat cuba untuk hindari.

Tanya Jugah, adakah situasi ini akan mengekalkan tahap kesihatan dan kesejahteraan rakyat Lubok Antu?

“Keresahan itu wajar kerana ramai penduduk merupakan warga tua yang berisiko dan mereka juga bimbang kerana ramai dalam kalangan penduduk golongan berusia.

“Masyarakat sekitar lokasi memang bergaul rapat dan sebelum berlakunya krisis Covid-19, kawasan sekitar sentiasa penuh dengan pelbagai aktiviti serta perayaan dan pelbagai mesyuarat di dewan orang ramai,” ujar beliau lagi. — DayakDaily

Advertisement