MP Lubok Antu rasmikan larian ‘Pencil For Fun Run 2019’ 

Jugah (tiga kanan) melepaskan peserta Larian “Pencil For Fun Run 2019” di Sri Aman.

KUCHING, 26 Oktober: Ahli Parlimen Lubok Antu, Jugah Muyang, telah merasmikan larian “Pencil For Fun Run 2019” di Komplek Sukan Sri Aman, hari ini.

Larian dianjurkan Persatuan Projek Pensel Sri Aman dengan kerjasama Pejabat Menteri Kerja Raya dan Pejabat Belia dan Sukan Sri Aman.

Jugah, dalam ucapan ringkas beliau, berkata larian tersebut adalah komitmen jawatankuasa penganjur dalam merancang program sukan dan kecerdasan untuk semua rakyat.


“Dalam mentransformasikan Malaysia sebagai negara bersukan, rakyat memerlukan lebih banyak tempat terbuka bagi menggalakkan orang ramai bersukan dan beriadah.

“Persepsi bahawa sukan itu terlalu mahal atau memerlukan infrastruktur yang mewah adalah tidak betul.

“Selagi tempat terbuka yang saya maksudkan itu dapat dimanfaatkan, saya percaya rakyat memahami dan membudayakan sukan dalam kehidupan harian,” katanya.

Jugah turut memberi memberi fokus kepada kepentingan pembangunan modal insan agar rakyat dan Bahagian Sri Aman setaraf dengan bahagian lain yang maju di Sarawak. —DayakDaily