MP Lubok Antu: Pindaan Perkara 1(2) bantu beri perhatian kepada pembangunan Sarawak, Sabah

Jugah Muyang
Advertisement

Oleh Chris Bishop

KUCHING, April 9: Pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan untuk menjadikan Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia sebagai rakan kongsi akan mengembalikan hasrat awal Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Menurut Ahli Parlimen (MP) Lubok Antu, Jugah Muyang, pindaan itu sekaligus bakal menjadikan Sabah dan Sarawak sebagai rakan pengasas pembentukkan negara ini 56 tahun lalu, yang tentunya memerlukan layanan lebih adil kepada kedua-dua wilayah berkenaan.

Advertisement

“Pindaan ini memenuhi hasrat dan tujuan iaitu memberi pengiktirafan bahawa Sarawak dan Sabah bukan hanya negeri setara dengan mana-mana negeri Semenanjung Malaysia, tetapi mengembalikan statusnya sebagai rakan kongsi dalam pembentukan Malaysia.

“Ini mencerminkan dengan jelas hasrat semangat Perjanjian Malaysia 1963.

“Kedudukan Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia adalah tiga wilayah di rantau ini dalam pembentukkan Malaysia,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.

Jugah yakin dengan kembalinya status ini nanti akan memberi perhatian kepada keperluan pembangunan Sabah dan Sarawak.

Kedua-dua wilayah akan dapat diberi perhatian yang adil dan saksama kerana harus diakui terdapat banyak daerah yang miskin dan masih mundur dengan kelengkapan yang daif, kata beliau.

“Dengan itu, peruntukan dan geran sewajarnya sesuai dengan janji asal ketika Malaysia ditubuhkan akan dapat ditunaikan.

“Pada masa sama, pembangunan wilayah lebih seimbang dan inklusif juga akan diberi tumpuan supaya dapat mengurangkan jurang pembangunan antara negeri serta kawasan luar bandar,” katanya.

Jugah berkata pelaksanaannya juga akan memberi keadilan dalam isu hak minyak dan gas Sabah dan Sarawak oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Tambah beliau, selain itu dan sejajar dengan tuntutan masa kini khususnya dalam aspek pembangunan, bayaran lima peratus royalti minyak perlu ada perubahan.

“Sekarang sudah tahun 2019 dan bukan lagi 1975 atau 1976. Kita memerlukan peruntukkan mencukupi untuk memenuhi aspirasi rakyat Sarawak.

“Hasil tambahan daripada minyak dan gas sudah tentu akan mempercepatkan pembangunan perindustrian dan kemajuan ekonomi, untuk membolehkan Malaysia pada keseluruhannya mencapai pendapatan ekonomi (yang lebih tinggi),” tegas beliau.

Usul pindaan dibuat selaras dengan semangat MA63 selain dari memenuhi aspirasi harapan kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak serta rakyat kedua-dua negeri, kata Jugah.

Ia harus dilihat sebagai satu keikhlasan komitmen pentadbiran kerajaan PH dalam merealisasikan pelaksanaan MA63, tegas beliau. — DayakDaily

Advertisement