MP Lubok Antu nafi keluar PKR

Jugah Muyang

KUCHING, 23 Mac: MP Lubok Antu Jugah Muyang, yang juga naib presiden PKR, menafikan spekulasi beliau bakal meninggalkan parti itu untuk menjadi wakil rakyat bebas.

Jugah turut menafikan tuduhan yang beliau akan menyertai mana-mana parti dalam komponen Perikatan Nasional (PN).

“Sejak seminggu yang lalu, banyak khabar angin yang mengatakan saya akan keluar parti dan menyertai PN.


“Saya ingin menegaskan bahawa semua spekulasi dan tuduhan ini tidak benar sama sekali,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Jugah juga berkata bahawa beliau tidak akan mengkhianati mandat yang telah diamanahkan dan terus setia dengan idealisme perjuangan parti di bawah pimpinan presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, PKR kekal utuh dalam satu barisan dan bersedia mengharungi apa jua halangan serta rintangan.

“Maka saya pasti kita akan dapat menghadapi kemelut yang berlaku sekarang ini dengan jalan terbaik.

“Saya bersama rakan-rakan lain dalam PKR memberi sokongan penuh kepada Anwar sebagai ketua pembangkang dan memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat Malaysia,” ujar beliau. — DayakDaily