MP Bintulu mahukan perkhidmatan kesihatan bergerak disediakan di luar bandar

Tiong (tengah) pada lawatan ke Hospital Bintulu semalam.

KUCHING, 14 Ogos: Ahli Parlimen (MP) Bintulu Dato Sri Tiong King Sing sedia untuk menyumbang kenderaan bagi memudahkan perkhidmatan kesihatan bergerak diberikan kepada penduduk di luar bandar.

Justeru, beliau sedia berbincang dengan pihak pengurusan Hospital Bintulu bagi menyelesaikan isu-isu yang berkaitan dengan pengoperasian hospital.

“Bagi memudahkan pergerakan logistik, mungkin kita boleh ubah suai bas atau lori yang boleh masuk ke kawasan pendalaman agar rakyat khususnya di rumah panjang dan kampung tidak lagi perlu pergi ke bandar untuk mendapatkan rawatan.

“Saya juga bersedia menyumbangkan kenderaan tersebut pada tahun hadapan.

“Walau bagaimanapun, pihak hospital perlu memaklumkan keperluan yang perlu dipasang dalam kenderaan tersebut agar kemudahan yang disediakan kelak sempurna untuk memberikan perkhidmatan kepada orang ramai,” katanya.

Tiong berkata demikian ketika lawatan ke Karnival Katarak di Hospital Bintulu pada semalam.

Pada lawatan itu, beliau komited untuk melakukan yang terbaik di dalam membantu Hospital Bintulu setelah mendengar penerangan yang disampaikan Timbalan Pengarah Hospital Bintulu Dr Dayang Suhaila Abang Mohamed.

Katanya, orang ramai mungkin mampu untuk pergi ke bandar bagi mendapatkan rawatan, namun dengan tiadanya kemudahan infrastruktur yang lengkap ia pastinya menyukarkan mereka.

“Justeru, saya mahu semua pihak memandang serius perkara ini dan melihat apa yang diperlukan oleh rakyat.

“Saya mahu teknologi terkini digunakan dan bukan lagi teknologi yang sudah hampir lupus tetapi dikatakan yang terbaik untuk memberi rawatan kepada pesakit.

“Saya tidak kisah untuk menyumbang seberapa banyak sekalipun, tetapi apa yang penting ialah rakyat boleh mendapatkan rawatan terbaik dan selesa,” ujar Tiong.

Berhubung kekurangan Hospital Bintulu untuk memberikan rawatan katarak, beliau meminta pihak hospital menyenaraikan peralatan yang diperlukan tersebut dan akan segera mendapatkannya. — DayakDaily